Thursday, January 29, 2009

_____ + _____ = "Assignment" Siap

Zaman sekarang bermacam-macam perkara boleh dilakukan dengan cepat dan mudah. Apa yang penting ialah kita perlu mempunyai ilmu dan kemahiran. Pelajar sekarang kalau nak buat assignment tak perlu nak duduk dekat perpustakaan berjam-jam, kat mana-mana saja pun boleh buat sebab maklumat ada di mana-mana. Tapi, adakah semua pelajar setuju dengan kenyataan ini?

Md Nizam Azid
Unit Runding Maklumat, Perpustakaan
rujukan@unimap.edu.my

Wednesday, January 28, 2009

Panduan Mengurus Perpustakaan.

Mengurus Perpustakaan

Panduan bagi menguruskan perpustakaan dengan berkesan, ianya merangkumi perkara-perkara asas yang perlu diketahui setiap pustakawan dan sesiapa sahaja yang diberikan tugas bagi menguruskan sebuah perpustakaan.

Perpustakaan adalah pusat maklumat dan ilmu pengetahuan yang penting. Ia wujud sekian lama, malah perpustakaan adalah organisasi lama yang mempunyai tradisi menyimpan dan mengurus pelbagai bahan maklumat. Perpustakaan wujud semasa berkembangnya kebudayaan Sumeria, Babylon dan Assyria yang terletak di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates sekitar tahun 3000 hingga 650 SM.Sejarah perpustakaan membuktikan kepada kita kepentingannya sebagai pusat penyimpanan tamadun ilmu. Perpustakaan mencerminkan keadaan sosio ekonomi dan taraf pendidikan negara dan masyarakat di mana ia berada. Negara dan masyarakat yang bertamadun dan memiliki budaya ilmu menghargai ilmu pengetahuan dan ini diterjemahkan kepada pembangunan perpustakaan yang menyimpan bahan-bahan ilmu itu.

Kebudayaan-kebudayaan lampau yang besar seperti Greek, Mesir dan Islam memberikan penekanan kepada pembangunan ilmu dan perpustakaan. Pada waktu itu, pustakawan yang diberi tanggungjawab menguruskan perpustakaan seringkali terdiri daripada individu yang terpelajar dan adalah cendekiawan pada zamannya. Pada hari ini, perpustakaan juga sering dikenali dengan nama pusat sumber. Ada juga yang dikenali sebagai pusat maklumat. Perpustakaan ataupun pusat sumber pada hari ini berhadapan dengan pelbagai format bahan maklumat yang begitu banyak dihasilkan. Oleh itu, para pustakawan menghadapi cabaran yang hebat bagi mengendalikan perpustakaan dengan baik. Pada waktu yang sama, perpustakaan perlu mampu bersaing dengan pembekal-pembekal maklumat yang lain. Pengetahuan dan kemahiran perlu dikemas kini secara berterusan supaya setiap tugas dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Beberapa cara dan kaedah yang diberikan dan diguna pakai diharap dapat memberi panduan bagi menguruskan perpustakaan dengan berkesan. Ia merangkumi perkara-perkara asas yang perlu diketahui setiap pustakawan dan sesiapa sahaja yang diberikan tugas bagi menguruskan sebuah perpustakaan. Kandungan utama adalah seperti berikut:

  • Sejarah Perpustakaan
  • Jenis dan Fungsi Perpustakaan
  • Pembangunan Koleksi Perpustakaan
  • Pengurusan Koleksi Perpustakaan
  • Pengkatalogan dan Pengelasan Koleksi
  • Perkhidmatan Pelanggan
  • Pemasaran Perpustakaan
  • Penggunaan Teknologi Maklumat di Perpustakaan
  • Pengurusan Kakitangan, Kewangan dan Susunan serta Suasana Perpustakaan

Sumber: PTS Professional Publishing Sdn Bhd

Royifazulmaldy Zakaria (Roy)

Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Rencana - Tingkatkan Nilai Perpustakaan..

Perpustakaan atau kutub-khanah adalah citra korpus ilmu dan lambang intelektual sesebuah bangsa, agama dan negara yang bertamadun. Institusi ini telah lama wujud sejak ribuan tahun dulu di mana sejarah kegemilangan tamadun agung Mesir, Rom, Parsi, China, India dan sebagainya adalah seiring dengan kewibawaan serta keagungan perpustakaan.

Perpustakaan terbesar dunia The Library of Congress di Amerika Syarikat (AS) yang memiliki jutaan koleksi keilmuan adalah inspirasi dan aspirasi sebenar dinamis perpustakaan dunia. Perpustakaan dikatakan wujud semasa berkembangnya kebudayaan dan keilmuan Sumeria, Babylon dan Assyria yang terletak di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates sekitar tahun 3000 hingga 650 Sebelum Masihi.

Perpustakaan Alexandria atau Iskandariyah yang dibina pada awal abad ke-3 Sebelum Masihi pada masa pemerintahan Ptolemeus II umpamanya pernah menjadi perpustakaan terbesar di dunia, menyimpan kira-kira 400,000 sehingga 700,000 naskhah gulungan papirus dalam pelbagai disiplin ilmu termasuk geometri, kedoktoran, astronomi, bahasa dan sebagainya.

Dr. Mustafa As-Siba‘i telah menukilkan bahawa Muhammad Bin Abdul Malik Az- Zayyad memberi 2,000 dinar setiap bulan kepada penterjemah dan penyalin buku sebagai ganjaran di atas usaha gigih mereka.

Khalifah Al-Makmun pula selalu memberi hadiah emas kepada Hunain Bin Ishaq seberat buku-buku yang telah diterjemahkan beliau ke dalam bahasa Arab.

Ini adalah contoh unggul betapa pemerintah silam begitu mengambil berat dan telah melaksanakan inisiatif penting meneruskan sejarah kegemilangan buku dan perpustakaan.

Sejarah keagungan Islam merekodkan kegemilangan tradisi intelektual Islam dengan terbinanya perpustakaan yang berkaliber seperti Perpustakaan Khalifah Dinasti Fatimiyah dan Darul Hikmah di Mesir, Perpustakaan Baitul Hakam di Baghdad, Perpustakaan Al-Hakam di Andalus, PerPustakaan Bani Ammar di Tripoli, Perpustakaan Al-Fath Bin Khaqan dan banyak lagi yang menjadi rujukan peminat serta pencinta buku dan pelajar dari seluruh dunia.

Di sini mereka menjalankan aktiviti diskusi, mentelaah, menyalin buku dengan bebas tanpa sebarang sekatan, bahkan diberi galakan dan insentif dari pihak pemerintah ketika itu.

Turut dilaporkan juga lahirnya begitu ramai genre penyalin dan penterjemah buku- buku yang bermutu tinggi dalam pelbagai bidang ilmu diperoleh melalui pembelian, pemindahan, pertukaran oleh pihak pemerintah dan termasuk proses penaklukan ke atas Ankara, Armenia, Cyprus dan sebagainya. Proses pemindahan ini telah mengubah landskap transformasi penterjemahan, penyalinan dan perkembangan dunia buku serta korpus ilmu dunia Arab.

Kewujudan perpustakaan menimbulkan integrasi minat membaca di kalangan masyarakat dan berlakunya proses menginstitusikan budaya membaca dalam sistem pemerintahan negara.

Menyelami perkembangan perpustakaan sebagai institusi kecemerlangan umat, maka kita perlu memperkasa dan mempertingkatkan lagi fungsi perpustakaan sewajarnya di negara kita.

Perpustakaan adalah khazanah dan aset negara yang amat berharga serta perlu diberikan pembelaan sepenuhnya. Di samping kewujudan Perpustakaan Negara Malaysia, kita memiliki perpustakaan awam hampir di setiap negeri termasuklah perpustakaan daerah, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak.

Namun begitu, kebergantungan kepada institusi ini tidak cukup dan ini menuntut semua pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta perlu mewujudkan perpustakaan di premis masing-masing.

Sebagai contoh mahkamah di seluruh Malaysia perlu mewujudkan perpustakaan di kompleks mahkamah agar sesiapa yang berminat boleh membuat rujukan berkenaan undang-undang secara langsung tanpa perlu pergi ke perpustakaan awam dan universiti.

Walaupun perpustakaan yang ada kini hanyalah bersifat koleksi peribadi para hakim dan majistret sahaja, tidak dibuka kepada umum, maka langkah menyediakan kemudahan perpustakaan memudahkan orang ramai, pelajar, pesalah, tertuduh dan sesiapa sahaja membuat rujukan dan carian akademik serta maklumat berkaitan undang-undang. Kemudahan ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan mewujudkan masyarakat celik undang-undang.

Hospital serta klinik kerajaan dan swasta juga perlu menyediakan kemudahan perpustakaan kepada orang ramai, pelajar dan pesakit agar mereka boleh mendapatkan akses maklumat dan ilmu pengetahuan berkaitan bidang perubatan dan kesihatan, di samping dapat mengisi masa lapang ketika mereka berada di hospital dan klinik.

Melalui kemudahan perpustakaan ini diharapkan dapat membantu usaha kerajaan membimbing dan membentuk masyarakat yang sihat dan bermaklumat.

Pusat dan agensi peranginan, hotel, pusat rekreasi dan percutian juga perlu menyediakan kemudahan perpustakaan kepada pelanggan mereka di samping bercuti, mereka juga dapat menambah ilmu pengetahuan di mana sahaja mereka berada serta pada bila-bila masa.

Di samping itu kompleks beli-belah, pasar raya besar seperti Tesco, Giant, Carrefour, Makro dan sebagainya juga digalakkan menyediakan kemudahan yang sama walaupun terdapat banyak kedai buku besar yang menyediakan kemudahan membaca dan merujuk buku secara percuma.

Pejabat-pejabat kerajaan, syarikat korporat, lapangan terbang, hendaklah menjadi contoh dan model penting menjadikan perpustakaan sebagai prasarana utama dalam proses pentadbiran dan pengurusan mereka. Dengan adanya perpustakaan, kemudahan menyimpan pelbagai koleksi maklumat dan menyediakan perkhidmatan dapat dilakukan seperti buku, majalah, jurnal dan sebagainya.

Gudang maklumat ini juga dapat menghimpun sumber bercetak, tidak bercetak dan elektronik untuk kegunaan syarikat dan rujukan orang ramai yang berminat terutamanya pelajar dan penyelidik.

Masjid dan surau juga wajar menyediakan kemudahan perpustakaan untuk kemudahan ahli jemaah dan kariah setempat. Tradisi Islam membuktikan perpustakaan telah memainkan peranan yang cukup penting dan merupakan pusat maklumat dan ilmu pengetahuan yang cukup berkesan.

Buku, jurnal, majalah dan bahan ilmu lain tidak semestinya bersifat keagamaan semata-mata tetapi perlu dipelbagai merangkumi ekonomi, teknologi, pendidikan, sosial, sains dan sebagainya.

Perpustakaan mencerminkan keadaan tahap sosioekonomi, sosial dan budaya serta taraf pendidikan negara dan masyarakat di Malaysia secara langsung.

Negara dan masyarakat yang bertamadun dan memiliki budaya menghargai ilmu pengetahuan perlu menterjemahkannya kepada pembangunan perpustakaan dan sebagai permulaan, maka setiap dari kalangan kita perlu memiliki sekurang-kurang perpustakaan peribadi di rumah dan bilik pejabat masing-masing.
Sumber: Mohamad Sofee Razak - Utusan Malaysia
Royifazulmaldy Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

KATALOG INDUK KEBANGSAAN

KATALOG INDUK KEBANGSAAN

Anda buntu? Buku yang dicari tiada dalam koleksi Perpustakaan UniMAP? Ingin menggunakan perkhidmatan Pinjaman Antara Perpustakaan (ILL), tetapi tidak tahu di mana koleksi tersebut boleh diperolehi?

Kini, anda boleh melayari laman web Katalog Induk Kebangsaan (KIK) – http://kik.pnm.my/

Katalog Induk Kebangsaan (KIK) memberi perkhidmatan atas talian yang boleh dicapai melalui Internet. Terdiri daripada gabungan koleksi atau rekod bibliografik daripada 101 buah perpustakaan yang terdapat di seluruh Malaysia.

Layarilah laman web ini bagi mendapatkan maklumat tentang lokasi bahan tersebut.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Unit Runding Maklumat di talian 04-9798601 atau email kepada rujukan@unimap.edu.my




Suhana Md Taha

Unit Katalog dan Metadata

Wednesday, January 21, 2009

JANGAN KERANA SEBUAH BUKU...
ANDA DIBEBANI DENGAN MASALAH LAIN...

Saya terpanggil untuk membicarakan perkara ini kerana daripada pengamatan saya ramai pelajar yang kurang peka dengan kemudahan yang disediakan di Perpustakaan UniMAP. Tahukah anda Perpustakaan UniMAP merupakan sebuah perpustakaan digital dimana segala kemudahan boleh dilakukan di hujung jari anda? Saya sebagai pembantu perpustakaan di sini dapati pelajar kurang peka dengan proses peminjaman dan pemulangan buku mereka sedangkan perpustakaan telah menyediakan 'Single Sign On'(SSO) dimana anda boleh menyemak sama ada berapa banyak buku yang telah anda pinjam dan betulkah berlaku pemulangan buku di kaunter atau 'book drop' hanya secara online. Dengan demikian, sudah pasti tidak berlaku bahawa pelajar mengatakan beliau memulangkan buku tetapi masih ada dalam akaun beliau.



Single Sign On

Tidak cukup dengan itu, perpustakaan juga menyediakan kemudahan dimana email akan dihantar 2 hari sebelum tarikh pemulangan buku bagi memperingati anda bahawa buku anda sudah hampir tamat tempoh. Sedarkah anda dengan perkara ini? atau adakah anda sedar yang email anda tidak aktif? Jika anda sedar sudah pasti anda tidak akan di denda. Anda sedar atau tidak buku yang bertanda putih adalah buku yang harganya RM 500 ke atas sehingga mencecah ribuan ringgit. Jika anda hilangkan buku tersebut anda akan dikenakan denda seperti membayar 2 kali ganda harga buku tersebut mengikut nilai semasa atau menggantikan buku yang serupa dengan buku yang anda hilangkan itu. Jika anda tidak mampu membayarnya ijazah anda akan ditahan selagi anda tidak menjelaskannya. Oleh itu berwaspadalah...jadilah seorang yang peka...jangan kerana sebuah buku anda dibebani dengan masalah lain.



Email 'Review Notice'



Email 'Books Overdue'



Buku yang bertanda putih


Jika anda mempunyai sebarang masalah berkaitan perkara di atas sila hubungi Kaunter Perkhidmatan Akses di talian 04-9798269 atau email ke sirkulasi@unimap.edu.my


Disediakan oleh :

Azhar Ahmad,
Pembantu Perpustakaan,
Unit Perkhidmatan Akses.

Monday, January 19, 2009

Kunjungan Muhibbah Universitas Jendral Soedirman, Purwokerto Banyumas, Republik Indonesia..


Perpustakaan UniMAP menerima kunjungan muhibbah seramai 14 orang pelajar dari Universitas Jendral Soedirman, Purwokerto Banyumas Jawa Tengah, Republik Indonesia. Kunjungan mereka diketuai oleh seorang pegawai dan beberapa orang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP selaku pegawai pengiring sempena lawatan mereka ke Perpustakaan dan sekitar kampus UniMAP. Rombongan pelajar tersebut telah diberi taklimat berkaitan perkembangan Perpustakaan UniMAP pada masa kini oleh Pustakawan Kanan, Puan Mazmin Mat Akhir. Kemudian pelajar-pelajar tersebut dibawa melawat sekitar Perpustakaan oleh beberapa orang Pustakawan. Akhir sekali sesi bergambar kenang-kenangan sebagai mengakhiri lawatan ke Perpustakaan UniMAP.
Royifazulmaldy Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Tuesday, January 13, 2009

Program Retreat Perpustakaan UniMAP..


"Memantapkan Perkhidmatan, Membudayakan Kualiti"

Perpustakaan UniMAP telah menganjurkan program Retreat 2008 pada 19-20 Disember 2008 yang lalu, khusus untuk menyediakan platform percambahan fikiran, idea dan cadangan penambahbaikan bagi memantapkan perkhidmatan Perpustakaan. Ia berasaskan hasrat untuk mengkaji semula pencapaian 2008 dan mengenalpasti cabaran serta kekangan yang dihadapi sepanjang tempoh berkenaan. Semua staf unit dan bahagian diminta memantapkan strategi untuk tahun 2009 dan mengenalpasti kaedah pelaksanaan secara efektif. Secara asasnya, program Retreat diharapkan berupaya mempersiap dan memperkemas sumber insan Perpustakaan untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan.

Objektif

  • Mengkaji semula strategi dan pencapaian 2008
  • Menggalakkan percambahan fikiran dan penghasilan idea inovatif dan kreatif
  • Meningkatkan persiapan staf dalam menghadapi cabaran perkhidmatan untuk tahun 2009

Royifazulmaldy Zakaria (Roy)

Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Monday, January 12, 2009

Jadikanlah Ruang Bacaan Di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis Cawangan Kuala Perlis Sebagai Hab Ke Dua Perpustakaan UniMAP..

Sejak dari bulan Julai 2006, para pelajar UniMAP dialu-alukan untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ruang bacaan yang disediakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis Cawangan Kuala Perlis. Jadikanlah Perpustakaan tersebut sebagai hab ke dua Perpustakaan UniMAP. Pelbagai kemudahan disediakan seperti perkhidmatan komputer dan internet percuma, mesin fotokopi berbayar serta bahan bacaan. Para pelajar boleh mengunjungi perpustakaan berdasarkan waktu operasi seperti berikut :

JADUAL WAKTU PEMBUKAAN
Isnin - Jumaat : 8.30 pagi - 11.00 malam
Sabtu - Ahad : 9.00 pagi - 5.00 petang (Minggu ke-2 dan ke-4)
Sabtu - Ahad : Tutup (Minggu ke-1 dan ke-3)
Cuti Umum : Tutup
Tel : +604-9851185

Royifazulmaldy Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Friday, January 9, 2009

Kemudahan Terkini Mesin Fotokopi di Perpustakaan UniMAP !!



Perpustakaan UniMAP menyediakan kemudahan terkini iaitu mesin fotokopi berkonsepkan layan diri. Pengguna perlu menggunakan kad magnetik berbayar yang boleh dibeli di Kaunter Perkhidmatan Akses berharga RM 5.00 dan RM 10.00 sahaja. Perkhidmatan fotokopi ini menyediakan dua jenis cetakan iaitu cetakan hitam putih dan cetakan berwarna. Kertas cetakan yang disediakan bersaiz A4 dan A3 sahaja.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi kami di Kaunter Perkhidmatan Akses di talian +604-9798269 atau email kepada sirkulasi@unimap.edu.my

Royifazulmaldy Zakaria (Roy)

Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Thursday, January 8, 2009

KOLEKSI RUJUKAN KURSUS

Koleksi Rujukan Kursus atau dalam bahasa inggerisnya Course Reference Collection (CRC) adalah koleksi bahan yang dicadangkan oleh pensyarah UniMAP sebagai buku teks untuk rujukan para pelajar.
CRC hanya boleh dipinjam selama 7 hari untuk setiap 1 bahan dan hanya 2 buah bahan sahaja boleh dipinjam dalam satu-satu masa.
Had jangkamasa ini diwujudkan bagi memberi peluang secara saksama bagi bahan yang menjadi rebutan para pelajar. CRC boleh dicapai di dalam WebOPAC melalui pautan Reserve. Untuk makluman, kelewatan memulangkan setiap bahan akan didenda RM 1.00 setiap satu hari.
Sebarang pertanyaan sila berhubung terus di Kaunter Perkhidmatan Akses. Hubungi kami di talian +604-9798269 atau email ke sirkulasi@unimap.edu.my
Azhar B. Ahmad
Pembantu Perpustakaan
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Aktifkan Aplikasi UniMAP Online Library Anda Hari Ini !!


Pengguna Perpustakaan UniMAP yang ingin mengakses aplikasi UniMAP 'Online Library' perlu mendapatkan 'Patron ID' dan 'Password' anda di Kaunter Perkhidmatan Akses. Pengguna boleh melaksanakan proses pembaharuan pinjaman dan tempahan bahan secara atas talian (online) melalui dua kaedah berikut :

i-Melalui aplikasi Sistem 'Single Sign - On'

ii-WebOPAC ( Online Public Acces Catalogue ) Perpustakaan UniMAP

Untuk maklumat lanjut anda bolehlah menghubungi kami di Kaunter Perkhidmatan Akses di talian +604-9798269 atau email kepada sirkulasi@unimap.edu.my


Royifazulmaldy Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

TERKINI DI PERPUSTAKAAN UNIMAP


BOOK DROP (Mesin Pemulangan Layan Diri)


Sempena tahun 2009, Perpustakaan UniMAP telah membuat beberapa penambahbaikan bagi kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan.

Kini pengguna hanya perlu menyentuh pada skrin untuk memulakan transaksi. Pengguna akan menerima resit pemulangan buku setelah selesai transaksi untuk simpanan dan rujukan.

Book Drop (Mesin Pemulangan Layan Diri) beroperasi 24 jam x 7 hari dan pengguna tidak akan menghadapi masalah pemulangan buku sekiranya Perpustakaan ditutup.

Jika pengguna menghadapi sebarang masalah mengenai penggunaan dan pemulangan buku melalui Book Drop ini, sila berjumpa petugas di Kaunter Perkhidmatan Akses atau hubungi kami di talian +604-9798269

Nazirah Zainul Abidin
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...