Wednesday, October 7, 2015

Naib Canselor UniMAP Dianugerah Profesor Emeritus



ARAU 5 Okt. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Datuk Dr. Kamarudin Hussin sebagai tepat kerana menjadi pengasas Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM).

Baginda yang juga Canselor Unimap bertitah, dengan penganugerahan ini juga diharap Kamarudin akan terus berbakti dan meneruskan perjuangan membina masyarakat yang berilmu pengetahuan.

“Pelbagai pahit getir telah ditempuh Kamarudin bersama dengan rakan-rakan seperjuangan yang bermula daripada asas sifar dalam proses penubuhan universiti awam yang ke-17 yang kini menjadi kebanggaan khususnya rakyat Perlis,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen Khas Penganugerahan Gelaran Profesor Emeritus Kepada Kamarudin di Dewan Kecemerlangan di Kampus Induk Unimap, Pauh Putra dekat sini hari ini.

Kamarudin, 60 anak kelahiran Kuala Lumpur ini telah disambung perkhidmatannya sehingga 2016 selepas menamatkan tugas sebagai penjawat awam pada 10 Februari lalu.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor Unimap.

Baginda bertitah, pengambilan 119 pelajar pertama KUKUM pada tahun 2002 bagi mengikuti dua program iaitu Program Kejuruteraan Mikro-elektronik dan Program Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan.

“Kini Unimap menawarkan 21 program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, 13 program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, dua program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, satu program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dan enam program Diploma di bawah sepuluh Pusat Pengajian,” titah baginda.

Baginda bertitah, jumlah pelajar Unimap kini berjumlah 13,074 orang yang terdiri daripada 509 Doktor Falsafah (PhD), 667 orang Sarjana, 10,343 orang Sarjana Muda dan 1,555 orang pelajar Diploma.

Titah baginda, kakitangan Unimap pula sebanyak 2,178 orang iaitu 1,034 (Bahagian Akademik), 225 (Pengurusan dan Profesional) serta 919 (Bahagian Pelaksana).

“Unimap juga mempunyai 257 orang pelajar antarabangsa yang terdiri daripada 173 orang PhD dan 84 orang Sarjana daripada 21 buah negara serta 553 orang pelajar Sarjana Muda daripada 31 buah negara di seluruh pelusuk dunia,” titah baginda.

Selain itu titah baginda, Kamarudin juga dikenali sebagai seorang ketua, pentadbir dan pengurus yang mempunyai visi yang jelas dan komited.

“Sikap rajin bekerja tanpa mengira masa dan keadaan. Setiap strategi dan program yang beliau laksanakan akan dipantau demi menentukan kesinambungan dan keberkesanannya,” titah baginda.

Titah baginda, walaupun kepentingan prestasi kerja diutamakan tetapi Kamarudin tidak pernah lupa akan kepentingan sumber manusia yang menjadi daya utama menggerakkan prestasi organisasi.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...