Friday, July 31, 2009

Jasamu Dikenang Hingga Ke Akhir Hayat..




Hajjah Foyziah Ahmad Nasuruddin, Ketua Pustakawan Pertama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah diputerikan di Negeri Pulau Pinang. Negeri Perlis bukan asing bagi beliau kerana pendidikan awalnya bermula di negeri ini. Minat untuk menjadi pustakawan berputik sejak di bangku sekolah rendah lagi. Beliau amat berterima kasih kepada guru darjahnya Cik Lau (kini Puan Choo) kerana memupuk semangat suka membaca dan mencintai buku.

Minatnya yang mendalam dalam bidang sains perpustakaan mendorong beliau bekerja di Perpustakaan Univesiti Sains Malaysia (USM) sebaik saja mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pada 1974 dari universiti yang sama. Oleh sebab beliau tiada kelayakan profesional dalam bidang sains perpustakaan, beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir, walaupun bidang tugas yang dipikulnya ialah bidang tugas pustakawan. Setelah bekerja hampir dua tahun, beliau diberi peluang mengikuti kursus profesional dalam bidang sains perpustakaan di London.

Sekembalinya dari London dengan Post-Graduate Diploma in Librarianship, beliau terus menyerlah kerana mendapat kenaikan pangkat beberapa kali. Dalam bulan Januari 1978, beliau dilantik sebagai Penolong Pustakawan (A22) di Bahagian Perolehan. Dalam bulan April tahun yang sama, beliau naik pangkat sebagai Penolong Pustakawan (A19) dan ditugasi mengetuai Bahagian Koleksi Bahasa Malaysia. Pada tahun 1982, pangkat beliau sekali lagi dinaikkan menjadi Penolong Pustakawan Kanan (A11) di Bahagian Perolehan.

Apabila USM membuka cawangan kejuruteraannya di Perak pada tahun 1986 beliau menjadi orang yang pertama diberi tanggungjawab mengurus hal-ehwal pentadbiran perpustakaan. Jawatan yang disandang pada ketika itu ialah Ketua Penolong Pustakawan (A10). Jawatan terakhirnya sebelum melangkah ke UniMAP ialah Timbalan Ketua Pustakawan di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal. Bakti yang ditabur selama 28 tahun di USM, diiktiraf pihak pengurusan dan beliau diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali iaitu pada 1994 dan 1999. Dalam tahun 1996, beliau dianugerahi Pingat AMP oleh D.Y.M.M Sultan Perak, Raja Azlan Shah sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-68..
Sebagai orang pertama yang mentadbir Perpustakaan UniMAP, beliau menyifatkan dirinya sebagai perintis dalam usaha membangunkan perpustakaan akademik. Cabaran demi cabaran dilaluinya dengan penuh kesabaran. Beliau bertuah mempunyai staf yang komited dan berdedikasi yang sama-sama berganding tenaga demi menjulang nama Perpustakaan UniMAP.

Sebagai Perpustakaan yang dibangunkan dalam era digital, beliau memastikan bahawa Perpustakaan dilengkapi dengan teknologi terkini. Para pelajar dan staf memerlukan kad pintar untuk memasuki perpustakaan. Pelanggan Perpustakaan tidak perlu beratur panjang untuk meminjam buku kerana mesin layan diri disediakan. Capaian bahan-bahan elektronik melalui Ez-proxy boleh dibuat sepanjang masa (24 jam/7 hari seminggu) tanpa mengira di mana jua warga UniMAP berada. Bagi memudahkan pensyarah dan mahasiswa menyenaraikan bahan-bahan rujukan dalam tugasan, kerta kerja dan laporan, Perpustakan UniMAP telah menyediakan perisian bibiliografi yang dikenali sebagai Endnote. Perpustakaan juga mempunyai Sistem Repositori Digital yang terkini.

Sebagai menghargai perkhidmatan beliau, UniMAP telah menganugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepadanya pada tahun 2002. Sempena Hari Keputeraan D.Y.M.M. Raja Perlis ke-62, beliau dianugerahi Pingat AMP pada tahun 2004. Beliau bersara wajib pada tahun 2005 dan perkhidmatanya disambung atas dasar kontrak selama empat tahun sehinggalah pada jam 5.30 petang 30 Julai 2009 maka berakhirlah perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pustakawan UniMAP.

Kini beliau boleh berbangga dengan apa yang ditinggalkan semasa legasi beliau sebagai Ketua Pustakawan Pertama UniMAP. Warga Perpustakan mengucapkan selamat bersara kepada Hajjah Foyziah Ahmad Nasuruddin atau lebih dikenali dengan panggilan mesra oleh semua staf iaitu 'Hajjah'. Segala jasa dan pengorbanan beliau kepada Perpustakaan UniMAP khususnya dan Universiti Malaysia Perlis amnya akan kami kenang hingga ke akhir hayat.
Tuai Padi Antara Masak
Esok Jangan Layu Layuan
Intai Kami Antara Nampak
Esok Jangan Rindu Rinduan
Kekanda Ditebat Adinda Dilawa
Di Bumi Padi Menusuk Bakti
Wajah Terpahat Di Dada Jiwa
Jasa Bersemadi Di Lubuk Hati

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Lawatan Kerja Staf Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.





30 Julai 2009, Perpustakaan UniMAP menerima kunjungan deligasi staf dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh, Perlis. Taklimat berkaitan Perpustakaan telah disampaikan oleh En. Md Nizam Azid dan dibantu oleh beberapa orang Pustakawan yang lain. Deligasi telah dimaklumkan tentang perkembangan sistem, pengkalan data dan pelbagai jenis kemudahan yang terdapat didalam Perpustakaan. Mereka kemudiannya dibawa melawat sekitar Perpustakaan UniMAP.

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Wednesday, July 29, 2009

Lawatan Pemeriksa Luar, Prof. David Charles Barton, University of Leeds.






29 Julai 2009, Perpustakaan UniMAP menerima lawatan pemeriksa luar iaitu Prof. David Charles Barton dari University of Leeds. Kehadiran beliau ke Perpustakaan sebagai salah satu agenda lawatan ke Universiti Malaysia Perlis. Beliau hadir ke UniMAP bertujuan menilai salah satu program pengajian yang ditawarkan iaitu Program Kejuruteraan Mekanikal. Disamping itu, sempena lawatan ke Perpustakaan, beliau telah di sampaikan taklimat berkaitan Sistem Perpustakaan, Sistem Repositori Digital (D'Space) dan OPAC serta pengkalan data yang dilanggan oleh Perpustakaan. Beliau kemudiannya dibawa melawat sekitar Perpustakaan.

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Selamat Hari Lahir..




28 Julai 2009

Sekalung Ucapan Tahniah dan Penghargaan serta Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Kelahiran Yang ke 60 dari semua staf Perpustakaan kepada Puan Hajjah Foyziah Ahmad Nasuruddin, Ketua Pustakawan UniMAP. Semoga Allah melanjutkan usia dan dilimpahi rahmat dan hidayah serta kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat.
Selamat Hari Lahir Hajjah..


Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy) & Semua Staf Perpustakaan UniMAP.

Majlis Perasmian Ruang Tambahan Baru Perpustakan UniMAP.





28 Julai 2009, Perpustakaan dengan bangganya telah melakukan trasnformasi dengan menyediakan ruang tambahan Perpustakaan baru di tingkat satu bangunan KWSP. Majlis perasmian ruang tambahan Perpustakaan tersebut telah disempurnakan dengan rasminya oleh Y.Bhg. Brig. Jen. Dato' Prof. Dr. Kamarudin Bin Hussin, Naib Canselor UniMAP. Turut hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pustakawan, Puan Hajjah Foyziah Ahmad Nasuruddin, Bendahari UniMAP Puan Saodah Binti Hassan dan Pendaftar UniMAP Tuan Haji Rusli Bin Abdul Hamid. Majlis dimulakan dengan ketibaan staf Perpustakaan, jemputan, pegawai utama universiti dan seterusnya ketibaan Dato Naib Canselor. Ucapan alu-aluan telah dimulakan oleh Ketua Pustakawan dan seterusnya ucapan perasmian oleh Naib Canselor UniMAP. Majlis diakhiri dengan sesi penyampai hadiah oleh Naib Canselor kepada Puan Hajjah Foyziah Ahmad Nasuruddin sempena hari ulang tahun kelahiran beliau dan juga penyampaian cenderamata kepada Naib Canselor serta jamuan kesyukuran.

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Thursday, July 23, 2009

Akan Datang..





Sukacita dimaklumkan kepada semua pengguna Perpustakaan, ruang bacaan baru di tingkat satu, Bangunan KWSP sedang diubah suai. Satu lagi transformasi yang telah dilakukan oleh Perpustakaan UniMAP untuk keselesaan semua pengguna Perpustakaan. Nantikan pembukaannya. Tunggu..

Royifazulmaldy Bin zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Pinjaman Buku Menerusi Internet ? Dapatkah Ianya Direalisasikan ?

KUALA LUMPUR 20 Julai - Mulai tahun depan, orang ramai tidak lagi perlu ke perpustakaan untuk meminjam buku.

Ini berikutan pengenalan kemudahan perpustakaan digital oleh Perpustakaan Negara yang membolehkan orang ramai meminjam buku menerusi Internet.

Menerusi kemudahan itu semua urusan pinjaman buku bukan sahaja boleh dibuat menggunakan Internet malah buku-buku akan dihantar ke rumah peminjam.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie berkata, kemudahan itu disediakan dengan kerjasama 101 perpustakaan lain berikutan penubuhan Katalog Induk Kebangsaan (KIK).

"Sistem perpustakaan digital diterajui Perpustakaan Negara akan beroperasi mulai hari ini tetapi akan lengkap sepenuhnya dua tahun lagi.

"Buat masa sekarang orang ramai hanya mampu mencari buku yang dikehendaki secara online tetapi mulai tahun depan setiap buku yang ingin dipinjam akan dihantar terus ke rumah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perpustakaan Digital dan melancarkan KIK di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohamad Md. Daud, Ketua Pengarah PNM, Raslin Abu Bakar, Pengurus bahagian ICT, Persatuan Orang Buta Malaysia, Silatulrahim Dahman dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Raslin Abu Bakar.

Seai Kie berkata, KIK dibangunkan dengan kos RM15 juta dan mengandungi lebih tujuh juta rekod katalog koleksi perpustakaan.

Tambahnya, perkhidmatan itu akan diperluas ke perpustakaan desa terutama di Sabah dan Sarawak selaras dengan usaha kerajaan menumpukan usaha meningkatkan liputan jalur lebar di sana.

"Usaha ini menuntut sokongan kementerian lain terutama Kementerian Pelajaran dalam menyediakan pendidikan digital kepada generasi muda dan pada masa yang sama menerapkan budaya suka membaca," jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai persidangan itu, Seai Kie berkata, ia agenda penting bagi mendidik masyarakat supaya mencintai perpustakaan yang merupakan warisan intelektual.

Sumber : Arkib Utusan Malaysia (Dalam Negeri) 21.07.2009

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)

Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Friday, July 17, 2009

Operasi di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Cawangan Kuala Perlis.

MAKLUMAN KEPADA SEMUA PELAJAR DAN STAF UniMAP

Untuk makluman semua pelajar dan staf UniMAP, pihak pengurusan telah memutuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti Kali Ke-62 (Bil.3/2009), bahawa Perpustakaan UniMAP tidak lagi menawarkan kemudahan ruang bacaan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Cawangan Kuala Perlis bermula Semester ini. Sehubungan itu, para pelajar UniMAP boleh memanfaatkan kemudahan perpustakaan berkenaan setiap hari (kecuali Sabtu-Ahad) yang beroperasi dari jam 8.30 pagi - 5.00 petang. Hal ini, sejajar dengan langkah Perpustakaan untuk menawarkan kemudahan dan perkhidmatan di ruang tambahan yang baru di Perpustakaan bermula pada Ogos 2009. Sekian, harap maklum.
Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Wednesday, July 15, 2009

Taklimat Orentasi Perpustakaan Sidang Akademik 2009 /2010.





Bermula dari 06 hingga 10 Julai 2009 yang lalu, sesi taklimat orentasi Perpustakaan kepada pelajar-pelajar baru sidang akademik 2009 / 2010 telah diadakan dengan jayanya. Objektif dan tujuan taklimat ini diadakan untuk mendedahkan kepada pengguna cara mencari bahan dan menerokai maklumat yang terdapat di Perpustakaan khususnya kepada pelajar-pelajar yang baru mendaftar di UniMAP. Taklimat tersebut telah diadakan pada sesi siang hari dan juga pada waktu malam. Lokasi taklimat yang telah ditetapkan adalah seperti berikut, Dewan Jalan Semarak, Dewan Dragon, Dewan Seberang Ramai, Dewan Taman Muhibbah dan Dewan Kubang Gajah. Beberapa orang Pustakawan dan Pembantu Perpustakaan telah ditugaskan untuk menyampaikan taklimat tersebut sepanjang sesi berlangsung. Disamping itu, semasa taklimat berlangsung, peraduan Library Scanvenger Hunts turut diadakan. Para Pelajar perlu menjawab beberapa soalan didalam peraduan tersebut dimana, soalannya berkaitan dengan taklimat yang disampaikan. Borang soal selidik turut diedarkan kepada para pelajar untuk mendapatkan maklum balas pengguna terhadap Perpustakaan.

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...