Thursday, December 5, 2013

Prof. Dr. Abdul Hamid Adom Di Lantik Timbalan Naib Canselor UniMAP


Hamid Adom Dilantik Timbalan Naib Canselor UniMAP

KANGAR, 3 Disember – Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik Prof. Dr. Abdul Hamid Adom dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang baru bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa 1 Disember lalu.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang baru berusia 42 tahun itu merupakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang ketiga UniMAP di mana sebelum ini di sandang oleh Prof. Dr. Ismail Daut dan Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Prof. Dr. Abdul Hamid ketika ditemui berkata, dengan kepercayaan yang diberikan beliau berazam untuk meningkatkan mutu penyelidikan UniMAP yang sedia ada bukan sahaja di peringkat universiti malah dipersada antarabangsa.

“Saya juga berhasrat untuk mempertingkat kualiti pengurusan penyelidikan serta memudahcara pelaksanaan setiap projek. Ini insyaAllah akan dapat melonjakkan nama Universiti ini ke tahap yang lebih tinggi.”

Prof Dr Abdul Hamid mula berkhidmat di UniMAP yang ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) dari 1 Disember 2004 sebagai pensyarah di PPK Mekatronik sebelum dilantik sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar PPK tersebut pada tahun 2005.

Beliau juga dilantik menjadi ahli senat sejak tahun 2005 seterusnya menjadi Dekan PPK Mekatronik pada 2007.

Beliau mempunyai kelulusan Sarjana muda dalam Kejuruteraan Sistem Elektronik pada tahun 1995 sebelum menyambung pengajian Sarjana dalam bidang yang sama pada tahun 1996.

Minat yang mendalam dalam bidang kejuruteraan Sistem Elektronik mendorong beliau untuk meneruskan pengajiannya ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2001. Ketiga-tiga kelulusan tersebut adalah dari Liverpool John Moores University, UK.

Sebelum berkhidmat di UniMAP, beliau merupakan Ketua Program Matematik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Sains Malaysia.

Beliau telah dianugerahkan professor penuh pada Jun 2012. Prof Dr Abdul Hamid aktif dalam bidang penyelidikan kecerdikan buatan, hybrid sensing, brain-machine interface dan robotik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...