Thursday, April 30, 2015

'A Gift To The World'

ARAU, 28  April — Penyakit Autisme bukanlah sesuatu yang baharu, malah satu peratus daripada penduduk dunia yang melibatkan 73 juta individu mengalami gangguan perkembangan disebabkan oleh Autisme.

Pakar perubatan, psikologi dan pekerja khidmat sosial meneroka pelbagai penemuan baharu mengenainya sejak simptom Autisme  mula dikaji sejak tahun 1819.

Pengerusi Psikanita Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datin Noridah Yangman berkata, di Malaysia, dianggarkan satu daripada setiap 600 kanak-kanak adalah pengidap autistik.

“Pengumpulan statistik pada tahun 2010 menunjukkan terdapat 47,000 penduduk Malaysia menghidapi  autisme dan daripada jumlah tersebut, empat atau lima orang bagi 10,000 pesakit mengalami autisme tulen.

Ini merupakan satu angka yang besar dan akan terus berkembang dalam masyarakat kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Program Kesedaran Autisme 2015 peringkat UniMAP, di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, sini, semalam.

Turut bercemar duli berangkat hadir pada perasmian program tersebut, Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro Canselor UniMAP, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Pengarah Kebajikan Masyarakat Perlis, Tuan Haji Zaimi Abdul Rani dan Ketua Pustakawan merangkap  Penyelaras Autism Hub For Educational Resources and  Training (A-HEART), Mazmin Mat Akhir

Ujar Datin Noridah lagi, beliau amat berbangga dengan semangat kesukarelawanan di kalangan pelajar UniMAP dari dalam dan luar negara.

“Atas kesedaran untuk membantu golongan kelainan upaya (OKU), seramai 80 pelajar UniMAP lokal dan antarabangsa kini mendaftar sebagai Sukarelawan #Projek Love OKU.

 “Mereka ini bergerak aktif mendekati golongan kelainan upaya di Perlis meliputi anak-anak Autisme dan usaha mereka dipandang tinggi oleh warga Program Dalam Komuniti  di seluruh Perlis,”katanya lagi.

Di akhir itu, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada 80 Sukarelawan #Projek Love OKU.

 





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...