Wednesday, December 19, 2012

Perpustakaan Perlu Bersaing Dengan Pembekal Perkhidmatan Global Dalam Menyajikan Maklumat


5 Disember 2012. PULAU PINANG – Perpustakaan pada zaman kini ini mungkin berdepan saingan  daripada pembekal perkhidmatan maklumat global sebagai inisiatif berkesan untuk menghadapi cabaran menyajikan maklumat terkini dan berimpak tinggi.

Penolong Naib Canselor Hal Ehwal Korporat Universiti Malaysia Perlis, Prof. Dr. Zuraidah Mohd. Zain berkata, perpustakaan juga pada masa sama perlu berkolaborasi dengan penerbit atas talian bagi memastikan sumber ilmiah yang diperolehi dapat diakses oleh para pengguna.

Ujar beliau, cabaran utama perpustakaan ialah untuk mempastikan para penyelidik “menemui” dan merujuk hasil penyelidikan berimpak yang diterbitkan melalui pelbagai media seperti jurnal, buku dan kertas kerja persidangan.

“Wikipedia umpamanya telah dan masih menjadi pusat rujukan kepada pengguna Internet walaupun ia berhadapan dengan pelbagai isu kesahihan data, fakta dan metodologi. Statistik menunjukkan Wikipedia menerima 500 juta kunjungan setiap bulan dan ini merupakan satu angka yang besar.

“Dan inilah sebenarnya cabaran yang perlu didepani oleh pustakawan dan institusi perpustakaan di seluruh dunia agar perpustakaan yang sebenar tidak menjadi sebahagian dari destinasi pengguna Internet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Kebangsaan Sumber Elektronik (SKSE) di Malaysia 2012, anjuran Perpustakaan Tunku Syed Faizuddin Putra  (PTSFP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Seminar tiga hari yang berakhir pada 7 Dis ini dijadual membincangkan 18 kertas kerja dan dihadiri 107  peserta serta pembentang dari Singapura, Hong Kong, Australia dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Pengerusi Persidangan Perpustakaan Universiti dan Negara Amir Hussain Ishak berkata, setiap perpustakaan sama ada perpustakaan awam atau akademik di negara ini perlu menyediakan persekitaran kondusif sebagai tarikan kepada pembaca khususnya generasi muda agar mereka kerap mengunjungi perpustakaan, beliau berkata persekitaran yang menarik dan mesra pengguna itu penting agar perpustakaan terus relevan sebagai sebuah institusi pengumpulan pelbagai bidang ilmu di negara ini.

"Sinonimnya bila sebut perpustakaan, terbayang keadaan yang sunyi, semua orang tekun membaca dan tidak boleh berbual langsung, tetapi ia perlu berubah kini, perlu disesuaikan dengan perbezaan generasi.

"Kemudahan dan kelengkapan yang ada juga perlu disesuaikan dengan kecanggihan teknologi hari ini, sekarang memang ada beberapa perpustakaan yang telah mengubah suasana dan persekitarannya lebih menarik serta sesuai dengan keperluan dan kehendak generasi masa kini," katanya.

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy) Jawatankuasa Promosi, Sumber Dan Perkhidmatan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...