Wednesday, December 19, 2012

Pembangunan Perpustakaan Sebagai Pusat Kebergantungan Maklumat Perlu Strategi Khusus


7 Disember 2012. PULAU PINANG – Pembangunan perpustakaan sebagai sebagai organisasi yang dihargai, dan menjadi pusat kebergantungan maklumat memerlukan strategi khusus dan terkini agar ianya dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia dan global.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Brig. Gen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, ia adalah berikutan perpustakaan merupakan lambang mercu tanda ilmu dan akan terus menjalankan peranannya dengan menyediakan capaian kepada maklumat tanpa mengira waktu.

Menurut  beliau, institusi perpustakaan dan kepustakawanan telah melalui evolusi yang pesat yang mana sejarah menunjukkan perpustakaan telah mengalami transformasi daripada khutub khanah untuk golongan elit kepada sumber maklumat untuk masyarakat umum.

“Sejarah juga telah membuktikan bahawa transformasi yang besar boleh berlaku dan tidak mustahil ia akan berlaku pada masa hadapan, justeru adalah perlu untuk perpustakaan merangka strategi-strategi khusus untuk memastikan ia kekal relevan sejajar dengan peradaran masa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama bertajuk “Mengangkasa Perpustakaan Di Malaysia” pada Seminar Kebangsaan Sumber Elektronik (SKSE) di Malaysia 2012 anjuran Perpustakaan Tunku Syed Faizuddin Putra  (PTSFP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini.

Seminar yang berlangsung selama tiga hari itu membincangkan pelbagai isu berkaitan institusi perpustakaan di Malaysia membincangkan 18 kertas kerja dan dihadiri 107  peserta serta pembentang dari Singapura, Hong Kong, Australia dan Amerika Syarikat.

Prof. Dr. Kamarudin berkata, antara strategi yang dirasakan perlu ialah perpustakaan perlu kekal sebagai perkhidmatan tidak berbayar dan  perlu dilengkapi dengan teknologi komunikasi yang berupaya menghubungkan para penyelidik di mana-mana institusi tempatan dengan para penyelidik di seluruh dunia.

Selain itu, ujar beliau, perpustakaan juga perlu menyediakan kemudahan multimedia dan maya yang membolehkan generasi baru menikmati pengalaman lalu.

“Untuk menjana graduan yang bakal menerajui negara, perpustakaan mesti mempunyai kapasiti untuk menikmati pengalaman dan sejarah lampau dalam bentuk maya dan pada masa sama perlu menjadi lokasi penghubung antara pensyarah dan pelajar.

“Ini bermakna ia menjadi satu pusat pembelajaran atau learning spaces yang selesa serta merangsang minda. Tidak ketinggalan, perpustakaan mesti menyediakan pengalaman yang mengujakan selain perkhidmatan fokus pelanggan,” katanya lagi.

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy) Jawatankuasa Promosi, Sumber Dan Perkhidmatan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...