KUALA LUMPUR 20 Julai - Mulai tahun depan, orang ramai tidak lagi perlu ke perpustakaan untuk meminjam buku.
Ini berikutan pengenalan kemudahan perpustakaan digital oleh Perpustakaan Negara yang membolehkan orang ramai meminjam buku menerusi Internet.
Menerusi kemudahan itu semua urusan pinjaman buku bukan sahaja boleh dibuat menggunakan Internet malah buku-buku akan dihantar ke rumah peminjam.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie berkata, kemudahan itu disediakan dengan kerjasama 101 perpustakaan lain berikutan penubuhan Katalog Induk Kebangsaan (KIK).
"Sistem perpustakaan digital diterajui Perpustakaan Negara akan beroperasi mulai hari ini tetapi akan lengkap sepenuhnya dua tahun lagi.
"Buat masa sekarang orang ramai hanya mampu mencari buku yang dikehendaki secara online tetapi mulai tahun depan setiap buku yang ingin dipinjam akan dihantar terus ke rumah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perpustakaan Digital dan melancarkan KIK di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohamad Md. Daud, Ketua Pengarah PNM, Raslin Abu Bakar, Pengurus bahagian ICT, Persatuan Orang Buta Malaysia, Silatulrahim Dahman dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Raslin Abu Bakar.
Seai Kie berkata, KIK dibangunkan dengan kos RM15 juta dan mengandungi lebih tujuh juta rekod katalog koleksi perpustakaan.
Tambahnya, perkhidmatan itu akan diperluas ke perpustakaan desa terutama di Sabah dan Sarawak selaras dengan usaha kerajaan menumpukan usaha meningkatkan liputan jalur lebar di sana.
"Usaha ini menuntut sokongan kementerian lain terutama Kementerian Pelajaran dalam menyediakan pendidikan digital kepada generasi muda dan pada masa yang sama menerapkan budaya suka membaca," jelasnya.
Sementara itu, bercakap mengenai persidangan itu, Seai Kie berkata, ia agenda penting bagi mendidik masyarakat supaya mencintai perpustakaan yang merupakan warisan intelektual.
Sumber : Arkib Utusan Malaysia (Dalam Negeri) 21.07.2009
Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)
No comments:
Post a Comment