Friday, March 11, 2016

Raja Muda Perlis Hargai Jasa Naib Canselor UniMAP



Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin (tengah) merakamkan cap jarinya pada hari terakhir beliau sebagai Naib Canselor UniMAP di pejabatnya di Pauh Putra pada 10 Feb 2016
KANGAR, 10 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memberi penghargaan kepada Naib Canselor pertama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin yang menamatkan perkhidmatan di UniMAP pada 10 Feb lepas.

Baginda menyifatkan Kamarudin sebagai ikon kejuruteraan institusi pengajian tinggi awam negara.

"Selama 14 tahun beliau menghambakan diri kepada UniMAP bukanlah satu tempoh yang singkat. Bermula daripada 'zero' beliau berjaya menjadikan UniMAP kini sebagai 'hero' melalui pelbagai kejayaan dalam bidang akademik, penyelidikan, kebudayaan, sukan dan sebagainya bukan sahaja di peringkat tempatan malah persada antarabangsa.

"Setelah lebih sedekad UniMAP beroperasi, saya lihat beliau masih tidak jemu menerokai idea baharu yang boleh diketengahkan UniMAP.

"Daripada hanya dua buah program akademik dan penyelidikan awal penubuhan UniMAP, kini berani saya katakan dunia sudah mengenali universiti ini," titah baginda yang juga Canselor UniMAP pada 'Majlis Malam Penghargaan: Jasamu Dikenang' untuk meraikan Kamarudin di sini Rabu malam.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat ke majlis berkenaan.

Sementara itu Kamarudin Hussin, 61, memberitahu pemberita beliau bangga dengan kejayaan UniMAP yang dalam tempoh singkat mampu menawarkan enam program diploma dan 38 program ijazah pertama terutama melibatkan bidang kejuruteraan.

Beliau dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan Tinggi berkuat kuasa 11 Feb lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...