Monday, July 22, 2013

Raja Perlis Lawat Perpustakaan UniMAP - BERNAMA

Raja Perlis Lawat Perpustakaan UniMAP

KANGAR, 21 Julai (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau perkembangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra di kampus induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra dekat sini, Ahad.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP disambut Naib Canselor universiti itu Prof Datuk Dr Kamarudin Husin dan pegawai kanan UniMAP.

Dalam lawatan itu, baginda mendengar talimat mengenai perkembangan dan kejayaan terkini UniMAP daripada Kamarudin disusuli taklimat yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pustakawan UniMAP Mazmin Mat Akhir mengenai perpustakaan berkonsepkan 'hybrid' tersebut.

Baginda kemudian melancarkan Koleksi Seminar Institusi Raja (SIRaj) yang dianjurkan UniMAP di Kuala Lumpur baru-baru ini dan melawat konti stesen radio UniMAP.fm di bangunan perpustakaan itu.

Baginda turut melawat galeri UniMAP sebelum meninjau litar Go-Kart UniMAP yang baharu siap dibina dan mendapat pengiktirafan.

Sementara itu dalam program berasingan petang ini, Tuanku Syed Faizuddin menyertai aktiviti berbasikal 'Jejak Asnaf' siri ke-3 bulan Ramadan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs diiringi Pengurus Baitulmal Perlis Mohd Nazim Mohd Noor berkayuh sejauh 14 kilometer bermula dan berakhir di Sekolah Kebangsaan Long Boh.

Ketika program kayuhan itu, baginda singgah di Kampung Bukit Kecik, Utan Aji dan meninjau kehidupan dua penduduk fakir iaitu Halim Mahmud dan Hamidon Hamid yang kedua-duanya berusia dalam 60-an.

Baginda turut menyampaikan sumbangan zakat MAIPS sebanyak RM400 masing-masing kepada warga emas berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...