Wednesday, December 15, 2010

Kemasukan Ke IPTA Hanya Melalui Dalam Talian.

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan para pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya boleh mengemukakan permohonan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui permohonan dalam talian sahaja.

Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf untuk sesi akademik 2011/2012 boleh dilakukan melalui laman web http://upu.mohe.gov.my.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pengajian Tinggi, selain IPTA, permohonan kemasukan itu juga membabitkan kemasukan ke Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) seperti Politeknik dan Institut Kemahiran Mara (IKM).

Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU), Jabatan Pengajian Tinggi turut menjadi pusat pengambilan setempat bagi menyelaraskan semua permohonan dan pemilihan kemasukan ke institusi tersebut.

Tambah kenyataan itu, permohonan ke program sijil dan diploma Institusi TEVT dan ILKA dilakukan secara serentak dengan permohonan kemasukan ke IPTA bagi lepasan SPM.

Kata kenyataan berkenaan, ia dilaksanakan secara dua fasa bagi melancarkan pengurusan permohonan kemasukan.

“Fasa pertama adalah pendaftaran permohonan yang telah dibuka pada 1 November lalu dan akan berakhir pada 31 Disember depan.

:Bagi permohonan fasa ini, pemohon boleh mengemukakan permohonan dengan hanya menggunakan nombor MyKad serta kata laluan,’’ ujar kenyataan itu.

Seterusnya, kenyataan itu menambah, pengesahan permohonan melibatkan fasa kedua akan dibuka pada 10 Januari 2011 mulai jam 12 tengah hari dan berakhir pada 4 April 2011.

“Bagi permohonan fasa kedua, semua pemohon yang telah mendaftar bagi permohonan fasa pertama atau yang belum mendaftar, wajib mengemukakan permohonan dengan menggunakan Nombor Unik ID dan Nombor MyKad serta kata laluan yang boleh diperoleh di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau ATM atau SMS Banking dengan harga RM10.60.

“Pemohon hanya dibenarkan mengemukakan satu permohonan dan tiga kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup permohonan pada 4 April 2011,’’ kata kenyataan itu.

Dijangkakan 70 peratus daripada 467,766 calon SPM tahun ini akan mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup fasa pertama.

Maklumat lanjut mengenai senarai program dan senarai kursus ditawarkan, syarat am dan khas, dasar, prosedur permohonan, kriteria pemilihan pekeliling dan penganjuran Karnival Pengajian Tinggi Negara boleh diperoleh di laman web http://upu.mohe.gov.my/.

Sumber: Utusan Malaysia Online 15 Disember 2010

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Jawatankuasa Promosi Perkhidmatan, Sumber Dan Perkhidmatan Perpustakaan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...