Friday, April 23, 2010

Perpustakaan Sepi?


Perpustakaan semakin sepi, pelajar lebih suka guna WiFi .

PERKEMBANGAN pesat teknologi maklumat menyebabkan perpustakaan yang selama ini menjadi tumpuan pelajar kini semakin sepi, sebaliknya premis termasuk restoran yang menyediakan perkhidmatan internet tanpa wayar secara percuma, Wi-Fi, menjadi tumpuan mereka untuk mentelaah pelajaran. Hampir setiap malam terutama hujung minggu, pelajar menjadikan restoran makanan segera atau gerai mamak berhampiran kampus yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi sebagai tempat mengulangkaji sambil makan dan bersosial. Perpustakaan pula hanya sibuk ketika pelajar membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan pada akhir semester.

Selain Wi-Fi, suasana selesa dan santai serta waktu operasi 24 jam dikatakan antara tarikan bagi pelajar IPT menjadikannya ‘port’ bagi melayari internet dan melakukan perbincangan tugasan selain melepaskan tekanan.

Fenomena itu menyebabkan ramai ahli akademik melihatnya sebagai ‘ancaman’ kepada budaya kesarjanaan kerana dikhuatiri pelajar tidak lagi menjadikan perpustakaan sebagai pusat menelaah atau mengunjunginya bagi mendapatkan bahan rujukan kerana bergantung penuh kepada enjin carian di internet.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Raja Abdullah Yaacob, berkata kesarjanaan tidak boleh dipisahkan dengan persekitaran perpustakaan yang kondusif dalam melahirkan generasi berbudaya ilmu dan berkemahiran dalam pencarian dan penggunaan maklumat untuk tujuan pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan.
Malah, katanya, semakin berkembang ICT, semakin relevan perkhidmatan perpustakaan kepada pelajar bagi memastikan mereka menggunakan kemahiran dan kaedah betul mencari maklumat dan sumber rujukan dalam era ledakan maklumat ketika ini.

“Dulu perpustakaan sajalah tempat pelajar berkumpul untuk berbincang atau menelaah, namun sekarang banyak pilihan terutama restoran yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi.

“Dikhuatiri apabila selesa dan kerap mengunjungi restoran seumpama itu akan membuatkan pelajar berfikir perpustakaan tidak lagi relevan dalam pengajian mereka.

“Antara kesan negatif mungkin berlaku akibat fenomena baru ini adalah berleluasa amalan plagiarism apabila enjin carian dijadikan kaedah utama mendapatkan maklumat selain mungkin hanya 10 peratus saja masa ditumpukan sepenuhnya kepada ulang kaji kerana banyak gangguan seperti bersembang dan makan,” katanya.

Raja Abdullah berkata antara punca pelajar mudah tertarik dengan ‘gangguan’ luar seperti restoran Wi-Fi adalah kurang kemahiran literasi maklumat yang mengakibatkan mereka tidak memanfaatkan kemudahan perpustakaan sepenuhnya.

Kebanyakan pelajar, katanya, hanya menggunakan perkhidmatan meminjam buku sedangkan mereka antara lain boleh mendapatkan bantuan pustakawan bagi mencari bahan atau rujukan berkaitan bidang pengkhususan menerusi bahan bercetak dan dalam talian.

“Pelaburan berjuta ringgit dilaburkan universiti bagi menaik taraf kemudahan perpustakaan dan melatih pustakawan seiring perkembangan ICT termasuk melanggan pangkalan data dan jurnal pelbagai bidang pengkhususan akan sia-sia jika pelajar tidak memanfaatkannya.

“Dalam hal ini, pengurusan perpustakaan boleh memainkan peranan dengan menggalakkan pustakawan supaya lebih proaktif dengan menawarkan perkhidmatan bimbingan literasi maklumat serta mengatur waktu operasi yang lebih bersesuaian dengan keperluan pelajar termasuk membuka satu bahagian perpustakaan yang boleh diakses 24 jam,” katanya.

Sementara itu, pelajar Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Mohamad Asri Ab Jani, 22, berkata tidak timbul isu kesarjanaan pelajar terjejas berikutan kecenderungan pelajar mengulang kaji di restoran Wi-Fi selagi ia dijadikan pusat menelaah alternatif dan sumber rujukan masih diambil daripada perpustakaan.

Beliau memberi contoh beliau bersama rakan kuliah akan mengadakan perbincangan dan ulang kaji di restoran Wi-Fi hanya apabila bahan untuk dibincangkan sudah dikumpul dan difahami di perpustakaan.

“Apabila tugasan diberikan, kami akan mengumpul fakta kes tertentu dan melakukan pembacaan ringkas mengenainya di perpustakaan sebelum membuat salinan bahan atau memuat turunnya daripada pangkalan data dan seterusnya berkumpul di restoran KFC atau McDonald’s Jalan Universiti Petaling Jaya pada sebelah malam bagi membincangkannya.

“Namun tidak dinafikan, jika tiada disiplin melakukan ulang kaji di lokasi santai seperti restoran Wi-Fi, pasti pelajar akan mudah tunduk kepada gangguan seperti makan atau bersembang di laman sosial di Facebook,” katanya.

Perkhidmatan perpustakaan perlu seiring teknologi semasa

PERKHIDMATAN perpustakaan perlu berubah mengikut kehendak dan keperluan pelajar masa kini terutama berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memastikan ia kekal relevan sebagai pemangkin kesarjanaan dan kecemerlangan universiti.

Ketua Pustakawan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Haron Wee, berkata jika perkhidmatan tidak diperbaiki, pelajar dengan mudah ‘lari’ ke lokasi lain untuk mengulang kaji apabila maklumat diperlukan tidak dapat dipenuhi.

Beliau berkata antara kemudahan perlu dinaiktaraf sesuai kecenderungan pelajar terhadap ICT ketika ini adalah mewujudkan lebih banyak terminal komputer bagi memudahkan pelajar melayari internet, sambungan Wi-FI serta pangkalan data yang boleh diakses di mana saja bagi pelbagai pengkhususan pengajian.

Selain itu, katanya, persekitaran santai seperti mewujudkan lebih banyak ruang perbincangan atau kemudahan kafe berhampiran juga penting bagi menggalakkan pelajar berada lebih lama di perpustakaan.

“Perkhidmatan perpustakaan tidak boleh berada di takuk lama, ia perlu berubah mengikut kehendak pelajar supaya perbelanjaan besar universiti membangunkan kemudahan ini tidak sia-sia.

“Diharapkan perkhidmatan diberikan akan membuatkan pengguna perpustakaan bernafsu kepada ilmu dan apabila mereka ketagih kepada ilmu, barulah setiap hari pelajar mengunjungi dan memanfaatkan kemudahan di institusi ini,” katanya.

Beliau memberi contoh antara kemudahan dinaik taraf di perpustakaan UiTM adalah mewujudkan 100 terminal komputer, serta 54 pangkalan data pelbagai bidang pengajian menerusi kemudahan EasyProxy yang membolehkan pelajar mengaksesnya di mana saja termasuk di rumah.

Katanya, kemudahan bahan bercetak dan buku juga ditambah secara berterusan menerusi maklum balas daripada setiap fakulti yang disalurkan menerusi pegawai perhubungan perpustakaan.

Pada Mei ini, katanya, ruang bacaan aras empat PTAR1 akan diubahsuai menjadi Library Learning Common bagi mewujudkan lebih banyak ruang perbincangan , bilik tayangan dan menempatkan mesin menjual makanan.

“Kami juga menggalakkan pustakawan mendekati pelajar bagi membimbing mereka menggunakan segala kemudahan terutama pangkalan data yang menggunakan sistem tertentu untuk diakses.

“Antara hasilnya, Perpustakaan UiTM menerima Anugerah Emerald baru-baru ini kerana mencatat penggunaan tertinggi di dunia bagi pangkalan data dalam talian Emerald Management Xtra yang memuatkan jurnal berkaitan pengajian sains sosial dan pengurusan,” katanya.

Sumber:Berita Harian

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

3 comments:

  1. tp perustakaan UniMAP makin best.. mse balik UniMAP sekejap hr tu, nampak perubahan.. congrates.. x sabar nk p library lg sem depan..

    ReplyDelete
  2. Terima kasih... Perpustakaan UniMAP sentiasa memberikan kemudahan dan perkhidmatan terbaik kepada pengguna..

    ReplyDelete
  3. ya ..saya melihat kebanyakkan universiti sudah mengupgrade library msg2..mcm di um sendri, lampu n meja sdh ditukar..pelajar akan lebih berminat ke lib hasil pengubhsuaian ini

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...