Tuesday, October 8, 2013

Perpustakaan Di Asia Tubuh AULiNK






Perpustakaan Di Asia Tubuh AULiNK

Langkawi, 5 Oktober – Perpustakaan di negara Asia bakal menubuhkan Asian Universities Library Network (AULiNK) dalam usaha untuk mengurangkan jurang capaian maklumat ilmiah digital di rantau tersebut.

Penubuhan tersebut adalah bertepatan dengan keperluan perpustakaan Institusi Pengajian Tinggi di Asia yang memerlukan capaian kepada maklumat penyelidikan dalam pelbagai bahasa merentasi Benua Asia, kata Ketua Pustakawan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mazmin Mat Akhir.

Ujar beliau, AULiNK yang dicetuskan oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen Datuk’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin bakal memberi tumpuan kepada strategi dan inisiatif mengukuhkan kolaborasi perpustakaan di negara Asia dan menghasilkan satu pusat sehenti kepada maklumat ilmiah yang dijana oleh para ilmuan dan penyelidik di benua ini.

“Kesemua perpustakaan di Asia perlu saling berkolaborasi dalam mewujudkan maklumat yang pelbagai kepada pengguna dan tidak hanya menyediakan akses kepada capaian maklumat ilmiah dari sumber atau jurnal-jurnal penyelidikan sedia ada.

“Penumpuan kepada capaian sedia ada dikhuatiri hanya akan menjadikan pengguna di Asia dihidangkan dengan skop liputan penyelidikan yang sama,” jelasnya.

Mazmin berkata demikian selepas Majlis Penutup First Forum on Library Consortia, Resource Sharing and Future Networks yang julung kali dianjurkan sempena Asian University Presidents Forum (AUPF) anjuran UniMAP di Hotel Resort World di sini hari ini.

Forum tersebut menghimpunkan lebih 50 orang peserta yang terdiri daripada pustakawan dari Perpustakaan Institusi Pengajian Tinggi dari seluruh Asia antaranya Korea, China, Thailand, Pakistan dan Indonesia.

Mazmin seterusnya berkata, sudah tiba masanya agar perpustakaan di negara Asia memantapkan usaha untuk meningkatkan keterlihatan institusi pengajian tinggi di Asia dalam bidang atau kepakaran sesebuah universiti itu sendiri.

Jelas beliau, selaras dengan aspirasi negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, inovasi, kreativiti dan penyelidikan berimpak, prasarana maklumat ilmiah menjadi antara input penting.

“Untuk itu, peserta yang menyertai forum ini bakal memantapkan strategi untuk memastikan para pelajar, penyelidik, dan rakyat keseluruhannya mempunyai akses kepada maklumat ilmiah untuk mengukuh daya saing negara dalam pelbagai bidang. 

“Matlamat ini hanya boleh dicapai melalui kolaborasi dan rangkaian kerjasama utuh perpustakaan dan institusi pengajian tinggi di Asia. Pencapaian hebat penyelidikan dan penerbitan di negara Asia bakal diangkat ke arena antarabangsa melalui prasarana maklumat digital yang akan dikumpulkan menerusi AULiNK ini,” ujarnya.

Antara yang dibincangkan sepanjang forum ini ialah amalan terbaik dalam pengurusan prasarana maklumat ilmiah merentasi institusi pengajian tinggi di Thailand yang disampaikan oleh Dr Sumate Yamnoon, Mantan Ketua Setiausaha, Higher Education Commission, Thailand.

Selain itu, pencapaian Korea Institute of Science & Technology Information (KISTI) dalam memenuhi keperluan maklumat sains dan teknologi merentasi komuniti penyelidik dan saintis di Korea serta keberkesanannya dalam meningatkan penyelidikan berimpak di Korea turut menjadi tumpuan para peserta Forum.

Keterlihatan universiti di Hong Kong yang berwawasan muncul sebagai hab pengajian tinggi Asia turut terpancar melalui keutuhan kolaborasi dalam menyediakan prasarana maklumat pada masa diperlukan dalam bidang penyelidikan berdaya saing turut dikongsikan dalam forum ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...