Wednesday, June 5, 2013

Seminar Institusi Raja (SIRaj) 2013


Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) buat pertama kalinya akan menganjurkan Seminar Institusi Raja (SIRaj) 2013 dalam usaha memartabat dan melestarikan Institusi Raja di negara ini.

Program ini akan dilangsungkan selama dua hari bermula 5 hingga 6 Jun 2013 di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Naib Canselor UniMAP, Brig Jen Dato’ Prof Dr Kamarudin Hussin berkata seminar ini bertujuan untuk menghayati peranan Raja dalam Sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia samping berkongsi corak Pemerintahan Beraja di negara-negara jiran yang turut mempunyai Institusi yang sama.

” Saya percaya dengan perlaksanan seminar ini akan membantu masyarakat khususnya generasi muda dalam menghayati peranan Institusi Raja selari dengan Sistem Raja Berperlembagaan dalam Sistem Pemerintahan di Malaysia.

Selain itu, ia juga akan memperkasakan Institusi Raja dalam memartabatkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam berdaulat selain menzahirkan ketaatan rakyat Malaysia kepada Raja-Raja Malaysia melalui perkongsian ilmiah dalam pelbagai sudut kehidupan seharian antara Rakyat dan Raja,”katanya.

Menurut beliau UniMAP juga telah menubuhkan Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia yang diketuai oleh Profesor Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah  Adam.

Program yang bertemakan  ”Melestarikan Pemerintahan Beraja”  bakal menyaksikan dua slot pembentangan titah ucaptama, lapan slot pembentangan utama dan sembilan slot pembentangan kertas kerja.

Bagi slot titah Ucaptama adalah DYTM Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Raja Muda Perak dan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis.

Selain itu, Prof Dr Kamarudin berkata untuk slot pembentangan utama melibatkan jemputan seperti Tan sri Dr Hj Harussani Hj Zakaria, Mufti Perak, Datuk Prof Dr Zainal Kling dari Universiti Utara Malaysia, Dato’ Hj Nooh Gadot, Bekas Mufti Johor, Profesor Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah  Adam dan ramai lagi.

Seminar ini akan dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Penyertaan masih dibuka dan bagi yang berminat boleh layari laman Web SIRaj http://siraj.unimap.edu.my untuk maklumat selanjutnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...