Tuesday, June 7, 2011

UniMAP Terima Pelajar Orang Asli Pertama

PAUH PUTRA, 5 Jun – Sebagai sebuah universiti kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berasa sangat bertuah hari ini apabila buat julung kalinya menerima kemasukan pelajar Orang Asli.


Sebelum ini UniMAP tidak pernah memiliki pelajar Orang Asli dan Amri A/L Amit Joyo yang berasal dari Asli Senai, Tapah Perak merupakan pelajar Orang Asli pertama yang mendaftar di UniMAP sempena hari Pendaftaran Pelajar Diploma Sidang Akademik 2011/2012 di Kampus Alam, Pauh Putra ,di sini.


Anak kedua dari empat beradik itu bercita-cita menjadi seorang jurutera yang berjaya suatu hari nanti.Bercakap kepada pemberita, Amri berkata beliau merupakan ahli keluarga yang pertama melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan berazam akan melakukan yang terbaik serta menjadi contoh kepada adik-adiknya yang lain.


“Saya sangat gembira kerana diterima sebagai pelajar UniMAP dan berharap akan menjadi antara pelajar terbaik UniMAP,”katanya.Kira-kira 320 pelajar Diploma telah mendaftar di UniMAP bagi mengisi enam program diploma yang ditawarkan iaitu Diploma Kejuruteraan Mikroelektronik, Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Pembuatan dan Kejuruteraan Metalurgi.


Sementara itu, bagi pasangan kembar seiras, Siti Nur’aini dan Siti Nur’aina Mohd Zain, peluang melanjutkan pengajian di universiti yang sama adalah satu pengalaman yang sangat indah dan akan dimanfaatkan sebaiknya.

Nur’aini berkata, beliau dan adiknya adalah pasangan kembar yang tidak pernah berenggang sejak kecil lagi dan berasa lebih bertuah kerana ditawarkan program pengajian yang sama iaitu Diploma Kejuruteraan Pembuatan.


“Ini adalah satu motivasi kepada kami berdua untuk terus berusaha menempa kejayaan,” kata Nur’aina.Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Dato’ Prof Dr Kamarudin Hussin dalam ucapannya ketika sesi taklimat waris menyeru agar ibu bapa sentiasa menyemaikan perasaan kasih sayang dan mengambil berat terhadap anak-anak kerana ini adalah kunci kejayaan mereka.“Pensyarah adalah tenaga pengajar yang membantu pelajar memperoleh kejayaan tetapi ibu bapa adalah pendorong utama yang memainkan peranan penting dalam memberi motivasi kepada para pelajar ini.


Walaupun berada jauh dimata, ibu bapa boleh menggunakan perkhidmatan internet seperti facebook, email atau SMS (Senyum, Mesra, Salam) untuk saling berhubung dan secara tidak langsung anak-anak akan rasa dihargai,”katanya.


Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Zul Azhar Zahid Jamal , Dekan Akademik, Prof Ir Dr Rezuwan Haji Kamaruddin dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Encik Razli Ahmad.


Sumber: Unit Media UniMAP

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy) Jawatankuasa Promosi Perkhidmatan, Sumber Dan Perkhidmatan Perpustakaan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...