Monday, October 1, 2012

R.D Universiti Harus Berkualiti Global

KANGAR 29 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya universiti-universiti di negara tidak lagi menghasilkan graduan dan penyelidikan hanya untuk pasaran tempatan tetapi mempertingkatkan sehingga mampu bersaing di peringkat global.
 
Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysian Perlis (UniMAP) bertitah, ini kerana berdasarkan situasi semasa di mana industri penyelidikan semakin pantas berubah diinjak masa.
 
''Oleh itu semua universiti mestilah terus-menerus responsif dan bersiap siaga menghadapi segala tekanan dan cabaran," titah baginda pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-7 UniMAP di Dewan 2020 di sini hari ini.
 
Pada tahun ini sebanyak 1, 830 graduan menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen UniMAP Ke-7 pada 29 dan 30 September.
 
Baginda bertitah supaya semua pihak seiringan untuk melahirkan graduan dan reka cipta yang benar-benar mampu mengubah senario dunia, lebih berimpak, menghasilkan kesan mendalam dan mampu mengubah kebiasaan.
 
''Untuk terus kekal di dimensi yang terkehadapan maka kita mesti berkemampuan dan mahu melakar dan mengubah sejarah serta dapat menterjemahkan manfaat, kesejahteraan serta kelestarian lebih baik kepada manusia sejagat, ekonomi dan kemakmuran alam," titah baginda.
 
Titah baginda, graduan berilmu senantiasa peka dan tahu nilai hormat-menghormati, kasih sayang, bersyukur dan prihatin.
 
Justeru itu titah baginda, para graduan mestilah menjaga kebajikan dan memuliakan ibu bapa, menghormati guru dan pensyarah kerana kelompok inilah yang menanam ilmu, membina sahsiah dan akhlak graduan.
 
Titah baginda walaupun di mana para graduan berada, asas-asas inilah yang mesti dihayati dan dijunjungi sebagai pedoman hidup.

Sumber: Utusan Malaysia

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy) Jawatankuasa Promosi, Sumber Dan Perkhidmatan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...