Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Monday, October 1, 2012

R.D Universiti Harus Berkualiti Global

KANGAR 29 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya universiti-universiti di negara tidak lagi menghasilkan graduan dan penyelidikan hanya untuk pasaran tempatan tetapi mempertingkatkan sehingga mampu bersaing di peringkat global.
 
Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysian Perlis (UniMAP) bertitah, ini kerana berdasarkan situasi semasa di mana industri penyelidikan semakin pantas berubah diinjak masa.
 
''Oleh itu semua universiti mestilah terus-menerus responsif dan bersiap siaga menghadapi segala tekanan dan cabaran," titah baginda pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-7 UniMAP di Dewan 2020 di sini hari ini.
 
Pada tahun ini sebanyak 1, 830 graduan menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen UniMAP Ke-7 pada 29 dan 30 September.
 

Wednesday, May 25, 2011

Semakin Ramai Rakyat Malaysia Suka Membaca

KUALA LUMPUR: Budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat kepada lapan hingga 12 buku setahun pada tahun lalu berbanding hanya dua buku pada 1996.


Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar berkata, peningkatan itu dipengaruhi oleh pertambahan syarikat penerbitan buku di negara ini selain peningkatan jumlah bahan bacaan.


"Sebanyak 8,877 syarikat penerbit dengan 23,181 judul terbitan kerajaan dan 167,704 terbitan bukan kerajaan pada tahun lalu.


"Dalam senarai yang dikeluarkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) berhubung penerbitan buku, Malaysia menduduki tangga ke-16 dunia daripada 110 negara," katanya pada sidang media Pesta Buku ReadMalaysia 2011 di sini pada Selasa.


Raslin berkata, berdasarkan kajian pada tahun lalu terdapat trend positif di kalangan pembaca berusia 10 tahun dan ke atas.


Selain itu, katanya, bahan bacaan dalam bidang bahasa seperti novel berbentuk fiksyen dan bukan fiksyen mendapat sambutan menggalakkan apabila terjual sehingga 60 peratus selain kesusasteraan dan agama.


"Jika dulu novel bahasa Malaysia sering diletakkan di rak bahagian belakang, tapi saya lihat bahan bacaan itu pada hari ini turut diminati masyarakat bukan Melayu.


"Perubahan budaya membaca novel di kalangan pembaca Cina dan India, jelas membuktikan bahasa Malaysia semakin diterima ramai sekaligus membantu usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa rasmi negara itu," jelasnya.


Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pusat Konvensyen dan Pameran Mines Malaysia, H.T Khor berkata, Pesta Buku ReadMalaysia 2011 dijadualkan berlangsung selama 10 hari di The Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor bermula 27 Mei hingga 5 Jun ini.


"Pada tahun lalu, seramai 340,000 pengunjung membanjiri pusat konvensyen di sini.
"Kami mensasarkan seramai 400,000 pengunjung berdasarkan pertambahan gerai yang dijangka dapat menjadi tarikan pada kali ini," ujarnya.


Pesta ReadMalaysia edisi ketiga tahun ini akan menghiburkan pengunjung dengan kehadiran duta ReadMalaysia iaitu watak animasi popular Upin dan Ipin selain sesi bertemu angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.


Sumber: mstar.com.my


Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy) Jawatankuasa Promosi Perkhidmatan, Sumber Dan Perkhidmatan Perpustakaan

Wednesday, March 2, 2011

Lokasi Kedai Buku Terbaik..





PENGGEMAR buku adakalanya bukan sahaja cerewet memilih buku tetapi juga lokasi terbaik mencari buku. Bagi yang mementingkan kualiti dan pilihan, mereka lazimnya akan mencari kedai buku yang besar dan selesa. Kepada yang mempunyai bajet terhad, akan ke kedai buku terpakai. Trend terkini ialah memesan buku secara talian yang amat sesuai bagi mereka yang sibuk dan tidak berkesempatan ke kedai buku.

Bagi mencari dan mendapatkan cadangan lokasi pembelian buku terbaik khususnya di Lembah Klang, penulis melayari beberapa laman forum dalam talian dan blog pembaca tegar.
Sebahagian besar pembeli buku memilih Kinokuniya di Suria KLCC atau BookXcess di Amcorp Mall Petaling Jaya untuk membeli buku baru.

Bagi pencari buku-buku terpakai pula, gudang jualan Payless Book di Dataran Milennium Petaling Jaya, Junk Bookstore di Jalan Tun H.S. Lee dan tingkat atas Pasar Chowrasta, Pulau Pinang disebut-sebut sebagai lokasi terbaik pilihan mereka.
Populariti Kinokuniya atau Kino di kalangan kebanyakan rakyat Malaysia mungkin dibantu oleh lokasi yang sangat strategik.

Suria KLCC mudah diakses memandangkan ia mempunyai stesen LRT dan tempat letak kereta bawah tanah yang luas. Meneliti komen pembaca dalam forum dan blog masing-masing, empat faktor dapat dirumus yang menjadikan Kino sangat digemari ramai iaitu pilihan buku, persekitaran, layanan pekerja dan khidmat dalam talian.

Gudang buku dua tingkat itu menawarkan pilihan tajuk buku yang sangat banyak dengan kepelbagaian genre yang mampu memuaskan keperluan bacaan kebanyakan pembaca di Malaysia. Pengurus Hal Ehwal Korporat Kino, Theresa Chong berkata, gudang itu menyediakan sekurang-kurangnya 250,000 judul buku pada satu-satu masa, meskipun beliau tidak pasti sama ada angka itu adalah koleksi jualan buku terbesar negara.

Pengunjung kali pertama akan segera menyedari betapa luas pilihan buku yang ditawar oleh gudang buku yang mengkhususkan tingkat atas kepada naskhah seni dan sastera. Jika terasa rambang mata, pengunjung tidak perlu khuatir kerana tajuk-tajuk buku di Kino dikatalogkan dengan baik, kemas dan tersusun sekali gus memudahkan pengunjung mencari genre pilihan dengan cepat.

Meneliti sampel

Kino mengamalkan konsep rak buku terbuka. Pengunjung boleh memilih dan membaca sebanyak mungkin buku-buku yang dibuka atau sampel sebelum membuat pembelian.
Seorang pengunjung mengakui perasaan selesa itulah yang menjadikan Kino lokasi pilihan untuk beliau meluangkan masa berkualiti dengan yang tersayang pada hujung minggu.

“Pekerja Kino tidak akan mengganggu meskipun pengunjung mengambil masa seharian untuk memilih buku, berbeza dengan layanan pekerja di sesetengah kedai buku tempatan yang sering mengekori sambil merenung menyebabkan kita terasa dilayan bak pencuri,” luahnya dalam satu laman forum.

Seorang pengunjung yang lain pula selesa membenarkan anak-anaknya berlegar di dalam Kino selama yang mereka mahu kerana yakin dengan tahap keselamatan dan kebersihan gudang buku itu.

“Saya pasti mereka tidak akan sesat, lagipun rak-rak buku yang rendah dan mesra kanak-kanak memudahkan mereka dipantau dari jauh selain membolehkan mereka mencari sendiri naskhah pilihan tanpa bantuan orang dewasa,” katanya.

Pengemar buku terutama dari luar Lembah Klang mungkin menghadapi masalah mencari buku idaman memandangkan pilihan kedai buku yang terhad di kawasan masing-masing.
Di sinilah letaknya kepentingan perkhidmatan pembelian buku dalam talian Kino yang dinamakan BookwebMalaysia.

Seorang penulis blog dari Ipoh, Perak memuji perkhidmatan BookwebMalaysia yang dianggapnya lebih cekap dan pantas, selain kos penghantaran murah berbanding pesanan buku melalui peruncit dalam talian utama dunia, Amazon.com.

Kata Chong, setiap pesanan buku akan diproses pada waktu yang sama setiap hari bagi memastikan pesanan tiba kepada pembeli dalam tempoh selewat-lewatnya dua hari dengan kos hanya RM8 untuk setiap penghantaran dan percuma jika jumlah buku berharga RM300.

Buku mahal

“Sambutan terhadap perkhidmatan ini amat memberangsangkan dan meningkat setiap bulan,” katanya.

Sambil meluahkan rasa penghargaan kepada masyarakat yang mempercayai khidmat Kino, beliau tidak menafikan ada kemungkinan mereka akan membuka cawangan yang baru jika menemui peluang dan lokasi yang sesuai. Penulis menyedari harga-harga buku yang menarik memang mahal untuk golongan pekerja kelas pertengahan, malah ia boleh dianggap bagai satu kemewahan jika ada wang kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Ini menyebabkan ramai yang tidak mampu berbelanja bagi memenuhi keinginan membaca kerana perlu menyimpan duit untuk keperluan hidup yang lebih penting. Bagaimanapun, semasa meninjau-ninjau di Amcorp Mall baru-baru ini, penulis terpandang sebuah buku bergambar kulit tebal Antarctica: A Call to Action yang dijual pada harga RM17.90 sedangkan harga asal yang tertera di kulit buku ialah RM111.00.

Ia kedengaran mustahil, tetapi kedai buku BookXcess memang menjual buku-buku baru berbahasa Inggeris dengan potongan harga sekurang-kurangnya 50 peratus daripada harga asal. Ia lebih berbaloi jika dibandingkan dengan banyak kedai buku terpakai yang pernah penulis lawati. Jumlah judul buku di BookXcess mungkin hanya sekitar 10,000 judul yang dibahagikan kepada fiksyen, bukan fiksyen, remaja dan kanak-kanak, tetapi ia turut menempatkan banyak tajuk popular atau karya penulis ternama.

Ia termasuk karya laris novelis terkemuka seperti Dan Brown, Sidney Sheldon, Cecelia Aher, Danielle Steel, John Grisham dan Sophie Kinsella. Ada juga karya klasik dari Agatha Christie, Charles Dicken, J.R.R. Tolkien, Jane Austen, Sir Arthur Conan Doyle serta William Shakespeare.
Golongan muda boleh memilih buku-buku popular seperti siri Twilight, Cirque Du Freak, Harry Potter, Percy Jackson, The Vampire Diaries selain Nancy Drew dan The Hardy Boys.
Pengunjung dewasa pula boleh memilih pelbagai genre buku yang bersesuaian dengan minat termasuk biografi, sejarah, hobi malah pelbagai buku masakan terkini chef-chef selebriti termasuk Martin Yan, Ramsey Gordon, Jamie Oliver dan lain-lain.

Pastinya peminat buku teruja apabila melihat perbezaan harga yang begitu besar di antara harga jual dan dan harga runcit sebenar. Merungkai pertanyaan penulis, pemilik BookXcess, Andrew Yap menjelaskan, kedai itu menjual buku-buku berlebihan atau buku terlebih cetak.

“Buku berlebihan adalah buku-buku yang tidak dapat dijual dan dipulangkan semula oleh pengedar, manakala buku lebihan cetakan berlaku apabila penerbit terbuat anggaran permintaan yang lebih tinggi berbanding permintaan sebenar,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau, syarikat penerbitan termasuk nama terkenal seperti Bloomsbury, HarperCollins, Headline-Hodder, Random House, Paragon, Penguin dan Walker perlu mengosongkan gudang mereka untuk terbitan terbaru. Ini bermakna, lebihan stok itu perlu dijual pada harga yang sangat rendah, dan memungkinkan buku-buku laris terkini untuk muncul di kedai itu dalam tempoh hanya beberapa bulan selepas diterbitkan.

Untuk kemudahan pengunjung, BookXcess menyediakan sistem pangkalan data yang baik sama ada menerusi laman web atau laman sosial Facebook mereka. – Bernama

Sumber: Kosmo Online, 2 Mac 2011

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)Jawatankuasa Promosi Perkhidmatan, Sumber Dan Perkhidmatan Perpustakaan

Friday, February 11, 2011

Pakaian Biarlah Sesuai Dengan Status Pelajar.

DULU, etika berpakaian di institusi pengajian tinggi (IPT) jarang diberi perhatian khusus kerana mahasiswa bergaya mengikut kesesuaian yang boleh diterima norma masyarakat.

Mereka meletakkan matlamat menjejakkan kaki di IPT untuk menuntut ilmu dan mengubah nasib keluarga dan tidak terlalu terdedah kepada aliran fesyen masa kini.

Pakaian sopan serta mudah disesuaikan dengan semua situasi menjadi pilihan sementara jika berpakaian kurang sesuai dan pelik dipandang serong serta dilabel dengan tanggapan negatif.

Bagaimanapun, kini etika berpakaian di kalangan mahasiswa mula menjadi bualan masyarakat dan sering diperkatakan pelbagai pihak kerana dikatakan sudah semakin melampau.

Bukan saja tidak mengikut tertib peraturan ditetapkan institusi, malah berani pula berpakaian seksi yang ternyata melanggar batas maruah individu dan menyakitkan mata masyarakat. Tidak kurang pula berpakaian pelik atas nama fesyen.

Ini sekali gus mencalar nama baik institusi, keluarga dan negara selain mengundang persepsi negatif umum tingkah laku mahasiswa di menara gading yang sepatutnya menjadi golongan contoh.

Persoalannya, adakah etika berpakaian ditetapkan selama ini sudah tidak bersesuaian dengan jiwa mahasiswa yang kebanyakannya terdiri daripada generasi muda yang moden dan fanatik terhadap fesyen?

Adakah kurangnya pemantauan masyarakat dan institusi pengajian menjadikan mereka semakin berani melanggar peraturan, sekali gus menggunakan alasan hak sebagai perisai daripada dikenakan tindakan?

Ketua program Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara ( UiTM), Anas Musavir berkata, mahasiswa perlu bijak dan akur terhadap peraturan ditetapkan serta jangan menggunakan alasan hak sebagai ‘menghalalkan’ segala perbuatan.

Menurutnya, setiap institusi mempunyai peraturan etika berpakaian wajib diikuti bagi membezakan mereka sebagai warga berpendidikan tinggi, selain mencerminkan budaya ilmu.

“Institusi tidak pernah menghalang, namun �biarlah mengikut garis panduan ditetapkan, apatah lagi etika berpakaian itu mencerminkan kualiti diri dan institusi diwakili.

“Sebagai pusat pembudayaan ilmu, IPT mengharapkan warganya kelihatan profesional, terpelajar serta diiktiraf masyarakat.

“Bayangkan kalau mereka berpakaian selekeh, tidak senonoh atau sakit mata memandang, apakah tanggapan orang luar?

“Etika berpakaian bukan untuk menafikan hak individu tapi lebih kepada mendidik

dan mendisiplinkan juga �sebagai proses awal menyiap�kan mereka mengikut peraturan selari keperluan industri pekerjaan. IPT bukan tempat untuk bergaya keterlaluan,” katanya.

Setiap mahasiswa IPT tertakluk kepada peraturan berpakaian yang sudah ditetapkan iaitu kemas dan sopan.

Bagi lelaki, digalakkan memakai pakaian kasual dengan seluar panjang dan baju kemeja apabila ke kuliah atau berbaju kebangsaan.

Perempuan pula lebih manis berbaju kurung, berpakaian longgar dan bersesuaian untuk ke kuliah mahu pun ketika melaksanakan tugasan luar. Dilarang memakai selipar, berbaju jarang dan ketat, seluar pendek, seluar ketat, jeans lusuh, skirt pendek dan kemeja-T berkolar bulat.

Ditanya mengapa mahasiswa hari ini kian berani berpakaian tidak sepatutnya hingga ‘menyakitkan’ mata memandang, beliau berkata, faktor budaya dan mudahnya memperoleh pelbagai perkembangan terkini dunia fesyen melalui media menjadi penyumbang utama.

“Budaya masyarakat yang �selalu bersikap terbuka dan ‘’tidak kisah’ menyebabkan �mereka semakin berani berpakaian sesuka hati. Mala,h ada juga IPT tidak mengambil tindakan terhadap pelajar yang melanggar peraturan dengan alasan tertentu, sekali gus �menjadikan mereka besar kepala.

“Kesalahan tidak boleh diletakkan pada satu pihak semata - mata, yang cuai perlu ditegur dan diperbetulkan. Masalahnya, bukan semua mahu memikul tanggungjawab itu, justeru yang salah terus melakukan kesalahan.

“Apatah lagi dengan segala kemudahan mengikuti aliran fesyen terkini menyebabkan fesyen tidak bersesuaian turut dipakai. Ini impak yang kurang baik kerana bukan saja boleh merosakkan perjalanan ilmu, malah mampu memberi pengaruh negatif kepada orang lain,” katanya mengakui mahasiswa wanita dan lelaki kini semakin taksub dengan gaya fesyen yang tidak mencerminkan diri mereka sebagai warga terpelajar.

Beliau berkata, meskipun ada mengatakan fesyen itu hak individu tapi tidak bermakna boleh melanggar peraturan sesuka hati.

Amat menyedihkan apabila mahasiswa yang diiktiraf golongan cerdik pandai menjadi hamba fesyen terutama yang tidak senonoh.

“Misalnya, ada mahasiswa lelaki kini ‘bertukar’ karakter seperti perempuan dengan memakai gincu atau berskaf, begitu juga sebaliknya. Inikah golongan yang boleh disandarkan harapan? Fenomena ini kian menakutkan,” katanya.

Katanya, berfesyen tidak salah namun, perlu mengikut lunas tertentu supaya tidak mencalar maruah diri serta institusi yang selama ini berusaha memberi imej terbaik kepada masyarakat.

“Fesyen adalah subjektif dan fleksibel mengikut kehendak masing-masing, namun biarlah ada kesopanan serta tidak menjolok mata selain boleh mendatangkan masalah kemudian hari.

“Andaian peribadi tidak boleh diukur melalui cara berpakaian, namun interpretasi awal dibuat melaluinya. Dengan kata lain, pakaian melambangkan cermin diri seseorang. Mahasiswa perlu akur, institusi bukan tempat untuk melawa atau lawan bergaya tapi menuntut ilmu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui sebahagian besar mahasiswa tahu meletakkan kepentingan dan matlamat utama berada di IPT selain tidak terlalu taksub pada kehendak fesyen semasa.

“Menggayakan sebarang fesyen sama ada moden atau tradisional tidak salah, namun biarlah mengikut etika ditetapkan. Bukan melakukannya untuk institusi semata-mata, malah lebih penting demi menjaga peribadi dan maruah diri daripada pandangan serong masyarakat.

“Janganlah mencari glamor dengan berfesyen kerana ditakuti kalau tersilap langkah, buruk padahnya,” katanya.

Mahasiswa Management and Science University (MSU), �Muhammad Redzwan Ismail berkata, kebanyakan mahasiswa suka berfesyen kerana terikut gaya idola mereka meskipun sedar ia bertentangan dengan etika berpakaian ditetapkan IPT.

“Jiwa muda sentiasa ingin bersaing dan suka pada sesuatu yang cantik, malah ada menggunakan fesyen untuk meraih perhatian atau sokongan rakan lain. Mungkin juga ingin menutup kelemahan diri.

“Pendapat saya, tidak salah jika ingin bergaya, namun biarlah berpada-pada. Lebih penting, jaga nama baik institusi,” katanya.
Sumber:http://www.hmetro.com.my/articles/Pakaianbiarlahsesuaidenganstatuspelajar

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Jawatankuasa Promosi Perkhidmatan, Sumber Dan Perkhidmatan Perpustakaan

Tuesday, November 23, 2010

STRATEGI MENGHADAPI PEPERIKSAAN

PERSEDIAAN FIZIKAL

1. KESIHATAN

Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan. Sekiranya masih banyak yang anda perlu ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:

a) Tidur yang cukup.

Tidur yang cukup ialah diantara 6 - 7 jam sehari. Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang.

b) Jaga pemakanan.

Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya "Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-Baqarah : 57). Yang dimaksudkan
sebagai yang baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.

c) Riadah.

Jangan beriadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji
pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu. Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Disaat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya. Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yanganda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.

2. KESELAMATAN

Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan. Elakkan diri dari sebarang kecederaan. Anda past tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu berad dalam wad di hospital. Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Dalam musimmenjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada dirumah.

PERSEDIAAN MENTAL

Pelbagai Gambaran Negatif

Kerapkali masalah yang dihadapi oleh pelajar apabila hampir dengan peperiksaan ialah takutkan kegagalan. Walau pun anda telah berusaha bersungguh-sungguh namun perasaan takutkan kegagalan ini sering mengganggu fikiran. Antara keadaan yang menekan diri pelajar ialah:

Menyerah kalah sebelum berjuang

Ini disebabkan kerana mereka rasakan yang mereka tidak punya harapan lagi. Mereka rasakan buat apa belajar kalau dah tahu hasilnya nanti ialah kegagalan. Mereka percaya yang mereka akan gagal dalam peperiksaan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan atau ujian-ujian sebelum ini. Mereka cuba membaca teta dengan keyakinan bahawa tidak mungkin mereka mampu memahami dan mengingati setiap fakta yang dibaca.

Merasa belum bersedia

Keadaan yang kedua pula berlaku kepada mereka yang sememangnya belajar. Mereka rasakan yang diri belum cukup bersedia. Mereka sentiasa fikirkan apa akan berlaku kalau segala usaha ini sia-sia? Apa akan terjadi kalau apa yang dibaca kelak lupa? Betapa malunya nanti kalau kawan-kawan yang kurang berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih baik? Semua ini bermain difikiran.

Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi

Tidak ada ibu bapa yang tidak mengharapkan kejayaan anak-anak. Ada ketikanya pula ibu bapa berulangkali menyatakan harapan mereka kepada anak-anak tanpa memikirkan kemampuan sebenar diri anak. Harapan yang terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban kepada anak-anak hinggakan mengganggu fikiran mereka. Kepada ibu bapa, saya sarankan agar dorong anak-anak berusaha gigih dan melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Nyatakan dengan jelas bahawa apa yang anda mahukan ialah anak-anak melakukan yang terbaik dan sungguh-sungguh. Anda redha walau apa sekalipun keputusannya kelak. Ini akan mengurangkan tekanan atas diri anak-anak.

Berfikiran Positif

Bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah berfikiran positif. Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan. Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya.

Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan halangan. Ini akan melemahkan semangat anda. Ia juga membuatkan anda meragu kebolehan diri anda.

Dalam berusaha anda mesti berpegang kepada kata-kata seperti:

"Sedikit pencapaian itu lebih baik dari tiada pencapaian langsung".

"Something is better than nothing"

Lakukan "Latihan Minda" setiap hari.

"If you can't see it, you can't have it".

Untuk membantu anda menggambar dengan baik, anda perlu membuat latihan minda seperti dibawah :

1.Duduk dikerusi anda dengan selesa. Tangan diletakkan diatas peha. Badan tidak bersandar. Tenangkan fikiran dan kendurkan setiap otot, sendi, uratsaraf dan pejamkan mata anda.

2.Tarik nafas beberapa kali dalam-dalam. Tarik melalui hidung dan hembuskan melalui mulut. Ketika nafas ditarik, gambarkan yang anda menyedut keyakinan diri. Ketika nafas dibuang, gambarkan yang anda membuang segala ketakutan dan kebimbangan.

3.Saya percaya anda pernah capai kejayaan sebelum ini, sama ada kecil atau besar. Saya mahu anda kembali kepada peristiwa kejayaan itu. Kejayaan itu mungkin berkaitan dengan pelajaran, sukan, debat dan sebagainya. Pilih satu yang paling bermakna kepada anda. Dimana iaberlaku? Apa yang berlaku? Apa yang anda dapat lihat? Suara apa yang anda dengar? Kalau ada tepukat, dengar tepukan gemuruh ketika itu. Kalau ada puji-pujian dengarkan duara siapa yang memuji itu. Gambarkannya secara jelas mengikut kemampuan anda. Dengar suara yang ada dengan jelas. Rasakan apa perasaan anda ketika itu. Rasakan keseronokan anda pernah dipuji. Rasakan kebanggaan anda sebagai orang yang berjaya ketika itu. Hadirkan perasaan itu kembali.

4.Apabila perasaan yakin dan bangga mula memuncak, cubit sedikit kedua-dua peha anda dengan tangan. Biar terasa sedikit sakit. Buka mata anda, dan pejam kembali. Ulang langkah 2 - 4 beberapa kali.

5.Kini pejamkan mata, gambarkan anda melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Gambarkan anda duduk dikerusi dan diatas meja tersedia kertas soalan. Rasakan ketenangan dalam dewan. Gambarkan kini anda membelek-belek kertas soalan dan anda dapati semua apa yang anda baca keluar. Rasakan kegembiraan itu. Gambarkan bagaimana anda menjawab setiap soalan satu persatu dengan penuh keyakinan. Ide keluar mencurah-curah.

6.Buka mata anda, ulangi langkah 5 beberapa kali.

7.Buatkan latihan minda ini 10 - 15 minit setiap hari. Sekiranya anda lakukan latihan ini sungguh-sungguh setiap hari, anda dapat mengawal perasaan takut anda ketika berada didewan peperiksaan dengan menarik nafas dan mencubit kedua-dua peha.

Kejayaan latihan minda di atas banyak bergantung kepada kesungguhan anda melatih diri, kekerapan latihan dan tumpuan anda.

1. PERSEDIAAN EMOSI

Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan emosi. Perkara-perkara yang berikut perlu dielakkan:

Pertengkaran dengan rakan-rakan;

Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah;

Cinta monyet yang mungkin kecundang disaat-saat
peperiksaan;

Bersikap terlalu yakin - "overconfident";

Berprasangka buruk terhadap orang lain;

2. PERSEDIAAN ROHANI

Selain dari persediaan fizikal, mental dan emosi, persediaan rohani juga perlu. Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah lah yang menentukannya. Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu disaat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan ini.

Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:

1.Sentiasa bermunajat kepada Allah. Lakukan solat hajat dan pohon agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi peperiksaan. Minta pada Allah agar apa yang dipelajari keluar dalam peperiksaan.

2.Minta restu kedua ibu bapa. Doa ibu bapa untuk anakny sangat makbul. Jadi mintalah restu dari keduanya. Mintalah mereka mendoakan kejayaan anda.

3.Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Hati yang banyak berzikir akan memperolehi ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca al-quran. Alla telah berfirman dalam surah ar-Ra'ad, ayat 36, yang
mafhumnya "Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati".

4.Jauhi maksiat. Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa besar. Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Allah.

5.Banyakkan berdoa. Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.

3. MENGATASI PELBAGAI SOALAN DAN KEBIMBANGAN

Saya tidak tahu dimana patut bermula.

Jangan panik. Senaraikan semua perkara yang perlu anda lakukan. Agih-agihkan tugasan anda kepada bahagian yang lebih kecil dan mudah dilaksanakan. Tentukan keutamaan tugasan, yang utama didahulukan. Rancang masa untuk menyelesaikan setiap tugasan ini sebaik-baiknya. Jangan sesekali ponteng kelas ketika hampir dengan peperiksaan. Anda mungkin tertinggal ulangkaji dan tip-tip penting yang dibincangkan oleh
guru atau pensyarah. Gunakan masa-masa rehat yang ada untuk mengimbas kembali apa yang telah dipelajari. Berikan masa bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk merancang strategi pembelajaran anda. Jangan terburu-buru, mulakan belajar anda dengan topik yang senang dahulu. Mulakan 30 minit – 1 jam dahulu. Semakin lama, terutamanya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, tingkatkan waktu belajar anda.

Terlalu banyak untuk dibaca sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Buat tinjauan. Berikan masa untuk anda membuat tinjauan keseluruhan topik. Kenalpasti topik-topik penting. Fahami konsep-konsep penting. Pastikan topik yang anda maih belum faham. Mulakan belajar topik yang penting-penting dahulu. Mana-mana topik yang kurang penting, dan tidak sempat diulangkaji sepenuhnya, fokus hanya kepada fakta-fakta utama. Tetapi ingat, tinjauan hanya boleh membantu sekiranya anda benar-benar sudah tidak punya masa. Kalau anda masih sempat membacanya, maka bacalah dengan terperinci.

Subjek ini cukup membosankan. Anda rasa jemu dan mengantuk apabila membacanya.

Belajar secara aktif bukannya pasif. Gunakan kaedah membaca yang berkesan. Dapatkan soalan-soalan berkaitan dengan topik yang dipelajari sebelum memulakan ulangkaji. Pelbagaikan aktiviti ketika belajar. Selang-selikan diantara aktiviti membaca dengan menulis nota, melakar peta minda (atau peta konsep), menghafal, menggaris kata kunci dan menjawab soalan-soalan. Libatkan diri anda sebanyak mungkin dengan apa yang sedang dibaca. Tukarkan apa yang dibaca kepada gambaran minda. Belajar bersama rakan yang lebih arif tentang subjek tersebut dan bincangkan.

Anda baca dan anda faham, tetapi anda tidak mampu mengingatinya.

Cuba kaitkan apa yang sedang anda pelajari dengan apa yang telah anda ketahui. Gunakan beberapa pendekatan untuk mengingat seperti:

Hafal kata kunci, bukannya hafal ayat.
Gunakan Teknik Ceraian.
Gunakan Teknik Mnemonik.
Tuliskan fakta-fakta penting pada kad dan bawanya bersama
anda kemana sahaja. Kerapkan buat imbasan terhadap kad- kad ini.

Anda rasa anda faham apa yang dibaca. Anda rasa anda telah mengingatinya.

Jangan cepat merasa puas hati dengan apa yang anda usahakan. Uji ingatan dan pengetahuan anda. Jawab soalan-soalan dari buku atau dari peperiksaan tahun-tahun sebelumnya. Bina soalan-soalan berdasarkan tujuh soalan asas iaitu Apa? Siapa? Bila? Dimana? Berapa? Kenapa? Bagaimana?

Terlalu banyak untuk dihafal dan diingat.

Penyusunan maklumat. Maklumat dan fakta-fakta dapat dikeluarkan dengan lebih baik sekiranya ia dibaca, dihafal dan disimpan dalam bentuk yang sistematik. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh anda guna untuk menyusun maklumat atau fakta ini, antaranya ialah:

Tuliskan rangka setiap bab yang dibaca atau ringkasan tentangnya. Perhatikan perkaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam tajuk tersebut. Cuba kumpulkan maklumat kepada beberapa kategori berdasarkan persamaan yang ada. Cuba bahagikan kepada hieraki (sekiranya ini boleh dilakukan). Pemetaan maklumat. Cuba lakarkan peta konsep bagi menyusun bahan-bahan yang ada perkaitan. Misalnya kalau anda sedang membaca sejarah tentang perang dunia kedua, anda mungkin boleh buatkan satu carta tentang semua negara yang terlibat. Kemudian senarai isu penting atau peristiwa penting disebelah carta tersebut. Anda mungkin kaitkan kembali isu/perkara penting ini dengan negara-negara tersebut berdasarkan kepentingan dan kesan ke atas mereka.

Tadi anda masih ingat tetapi kenapa kini anda lupa?

Sering buat imbasan. Kajian menunjukkan bahawa sebagai manusia normal anda akan lupa 80% apa yang telah dibaca hanya dalam masa 24 jam. Oleh itu anda perlu merancang satu strategi agar anda mampu mengatasi kelemahan ini.

Pastikan setiap apa yang anda baca telah diringkaskan. Jadikan fakta seringkas mungkin dengan syarat apabila anda melihat fakta tersebut anda mampu menceritakan semula apa yang mahu disampaikan olehnya. Ada ketikanya fakta yang panjang sekalipun mampu anda ringkaskan menjadi dua atau tiga patah perkataan. Selepas 24 jam, cuba lihat nota ringkas anda ini. Cuba ceritakan semula apa yang anda fahami. Sekiranya anda mampu menceritakannya, bermakna anda sudah mampu memanggil semula maklumat tersebut. Sekiranya tidak, semak semula sekali imbas teks asal. Berikan masa menjawab soalan-soalan berkaitan dengannya bagi mengukuhkan lagi ingatan anda. Semak semula apa yang dibaca dari semasa ke semasa. Dengan cara ini anda tidak perlu bersusah payah membaca teks asal kembali sewaktu hampir dengan peperiksaan.

Anda suka belajar disaat-saat akhir.

Ramai pelajar yang berpendapat lebih baik belajar disaat-saat akhir, sebab kalau belajar awal pun nanti lupa juga. Pendapat di atas adalah tidak benar. Anda perlu belajar seawal mungkin bagi mengenal pasti kelemahan dalam sesuatu bab. Dengan belajar awal juga anda punya banyak masa untuk bertanya pada guru dan rakan-rakan. Salah satu rahsia belajar ialah kekerapan. Lagi kerap sesuatu bahan itu diulangbaca maka lagi besar potensi untuk anda memahami dan mengingatinya. Oleh itu, mulakan langkah anda sekarang. Mulakan sedikit dahulu. Mulakan dengan yang mudah-mudah dahulu dan apabila minat dan semangat mula berputik, barulah lakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.

4. BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN

Ramai pelajar yang rajin belajar tetapi tidak memperolehi keputusan yang setimpal dengan usaha mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka tidak belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam peperiksaan. Mereka tidak merancang jadual belajar dan masa mereka dengan betul. Artikel ini akan membincangkan apa yang perlu anda lakukan mulai sekarang
hinggalah ke dewan peperiksaan bagi memastikan anda lakuka yang terbaik.

Bersedia untuk belajar

Peperiksaan semakin hampir. Anda perlu melakukan persediaan bagi memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lenih tinggi sama ada di kolej ataupun universiti.

Buatkan jadual belajar untuk peperiksaan

Jangan panik. Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati, jangan sekali-kali anda panik. Sekiranya anda panik, anda akan mengundang lebih banyak masalah berbanding penyelesaian. Tidak ada masalah tanya penyelesaian.

Mula menyemak semua buku-buku yang ada termasuk buku rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun lepas. Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan baik.

Langkah pertama kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua mata pelajaran. Senaraikan bab-bab ini. Senaraikan juga bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik.
Langkah kedua buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas. Lihat bab-bab yang sering keluar soalan darinya. Bab-bab ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh tidak mesti anda kuasai dengan baik.

Buatkan jadual perancangan belajar anda. Agihkan tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan. Jangan diganggu minggu terakhir sebelum peperiksaan sebab minggu terakhir ini adalah untuk anda lakukan semakan terakhir nanti. Mana-mana bab yang penting, mulakan ulangkajinya dahulu. Lagi awal anda mengulangkaji bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya mengatasi setiap masalah. Sekiranya anda terpaksa menghabiskan 4 bab seminggu maka habiskanlah. Anda mungkin terpaksa belajar 5 - 8 jam sehari untuk mengulangkaji semua matapelajaran. Oleh itu anda perlu berkorban demi masa depan. Anda mungkin belajar 1 jam di waktu pagi, 2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam. Ini menjadikan masa belajar anda 7 jam sehari.

Mengingati Tajuk

Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini. Kalau anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam sesuatu matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang anda pelajari.

Buatkan Nota

Anda hanya perlu mempelajari sekali sahaja setiap tajuk. Pastikan dengan usaha yang sekali ini anda mampu memahaminya. Ramai pelajar yang mengulang baca sesuatu tajuk beberapa kali dan kemudiannya lupa. Cara belajar begini bukan sahaja menjemukan malah merugikan masa anda, sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Setelah anda memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas. Yang terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang anda fahami. Bandingkan nota anda dengan teks asal bagi memastikan fahaman anda betul dan tidak ada fakta penting yang tertinggal.

Latih diri anda untuk peperiksaan

Anda perlu melatih diri anda untuk peperiksaan. Tanpa latihan anda tidak mungkin dapat memberikan hasil yang terbaik. Minda anda juga seperti otot-otot fizikal anda yang lain. Ia perlu dilatih secara intensif bagi mencapai sesuatu hajat. Mereka yang mahu cemerlang dalam 'bowling' perlu melakukan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran ber'bowling'. Begitu juga dengan peperiksaan. Anda perlu melatih diri anda bagi tujuan cemerlang dalam peperiksaan.

Syarat-syarat latihan peperiksaan ialah:

1. Latih mengeluarkan maklumat

Maklumat yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan semula. Oleh itu anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk mengeluarkan maklumat yang telah dipelajari. Perbanyakkan latihan-latihan seperti:

 Menjawab soalan-soalan;
 Menceritakan semula apa yang telah dipelajari;
 Melakarkan kembali dalam bentuk peta konsep / minda;
 Mengadakan perbincangan dengan rakan;
 Menyediakan kad imbasan kecil.
 Menggambarcarakan apa yang telah dipelajari.

2. Hadkan masa menjawab

Pastikan anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan. Peperiksaan bukan sahaja memerlukan anda mengetahui banyak fakta, tetapi anda perlu mengeluarkan fakta-fakta yang berkaitan dalam masa yang telah ditetapkan. Oleh itu anda perlu pantas dan kepantasan hanya boleh dibina melalui latihan yang berterusan.

3. Anggap seperti peperiksaan sebenar

Pastikan anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa, tumpuan yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan peperiksaan yang sebenar. Elakkan dari meniru sepanjang menjalani latihan ujian. Gunakan strategi menjawab soalan . Ingat masa berjalan, oleh itu jangan sekali-kali biarkan fikiran anda melayang. Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang terbaik. Anda perlu belajar mengenali gerak hati anda sebab anda memerlukannya dalam peperiksaan yang sebenar nanti.

4. Strategi menjawab soalan

Untuk mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari berlakunya kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab soalan yang berkesan.

Langkah-langkah berikut dapat membantu:

1.Baca arahan terlebih dahulu.
2.Baca arahan terlebih dahulu.
3.Kenal pasti dan garis kata kunci kepada soalan.
4.Jawab soalan mengikut turutan berikut:

 Jawab soalan BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti jawapannya betul. Ia mungkin soalan yang telah anda ramal, atau yang pernah anda latih sebelumnya.

 Jawab soalan yang senang - Iaitu soalan yang mampu anda jawab hanya dengan satu kali cubaan.

 Jawab soalan-soalan yang susah - iaitu soalan yang memerlukan masa yang panjang atau soalan yang anda memang tidak tahu jawapannya.

 Semak - Pastikan semua soalan dijawab; Untuk soalan objektif, pastikan tandanya betul.

 Ulang jawab - Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan bonus dan senang. Ingat! soalan inilah yang anda pasti lakukan kecuaian oleh itu semak dengan tujuan mencari kesilapan tersebut. Bukannya menyemak dengan tujuan berpuashati dengan jawapan. Langkah terakhir barulah ulang jawab soalan-soalan susah. Itu pun sekiranya masa masih mengizinkan.

Mencari sebab (post-mortem)

Anda perlu menkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai menjawab soalan-soalan. Setelah anda selesai membuat latiha ujian. Semak setiap jawapan yang dibuat. Sekiranya jawapan anda salah maka lakukan 'post-mortem', iaitu proses mencari sebab. Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda atasi. Antara sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:

 Tidak tahu (tidak baca) - Ini bermakna persediaan diri anda kurang. Maka berikan masa membaca tajuk-tajuk tersebut.
 Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham. Tanyakan padaguru atau rakan.
 Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah dipelajari.
 Cuai - Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi Menjawab Soalan di atas.
 Keliru - Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak diulangi.

Jangan buang masa

Dalam suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan setiap masa yang terluang untuk mengulangkaji. Sekirannya masa yang terluang tidak sesuai untuk anda membaca dan menghafal, maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih mengeluarkan maklumat. Ceritakan apa yang telah anda pelajari kepada diri anda sendiri. Lakarkan apa yang anda ketahui pada sehelai kertas. Aktiviti sebegini mengukuhkan lagi ingatan anda dan memudahkan pengaliran keluar maklumat ketika dalam peperiksaan kelak.

Bagi mengelakkan rasa jemu belajar, pelbagaikan aktiviti dalam satu-satu sessi mengulangkaji.



** sumber : USM

Tuesday, May 4, 2010

Internet, televisyen 'musuh' buku - Ungku Aziz

KUALA LUMPUR 3 Mei - Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz menganggap Internet dan televisyen merupakan 'musuh' kepada buku kerana menghakis budaya membaca di kalangan masyarakat seperti yang berlaku di Malaysia ketika ini.

Menurut tokoh akademik itu, penggunaan yang meluas kedua-dua medium itu kini membentuk masyarakat yang bergantung sepenuhnya kepada Internet dan televisyen untuk mendapatkan maklumat sekali gus meminggirkan kandungan sesebuah buku.

"Ia menjadi semakin parah apabila sesuatu pengetahuan itu tiada di Internet, maka ia akan diabaikan begitu sahaja dan sangat merugikan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi menandatangani autograf buku mengenainya bertajuk The Renaissance Man di kedai buku Kinokuniya (Malaysia) Sdn. Bhd. di Suria KLCC hari ini.

Buku tersebut berkisar tentang pengalaman beliau sepanjang perkhidmatannya di Universiti Malaya (UM).

Kandungan buku itu disumbangkan oleh beberapa penulis antaranya bekas Naib Canselor UM, Datuk Dr. Hashim Yaacob; Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abd. Hamid; Prof. Emeritus Dr. K. T. Joseph; Prof. Dr. Azizah Hamzah selain Ungku Abdul Aziz sendiri.

Mengulas lanjut, kata Ungku Abdul Aziz, budaya membaca buku di Malaysia agak rendah berbanding negara-negara luar khususnya penduduk di Eropah yang menjadikannya satu amalan.

"Mereka (penduduk Eropah) membaca buku di mana-mana sahaja walaupun masa terluang hanya 15 minit sedangkan negara mereka mempunyai kemudahan Internet yang baik ," katanya.

Tambahnya, masalah kurang membaca buku bukan sahaja berlaku kepada golongan remaja, malah kepada golongan korporat dan golongan berpendidikan tinggi yang suka menghabiskan masa lapang dengan bermain golf atau melayari Internet tanpa henti.

Beliau menolak dakwaan bahawa harga buku yang tinggi menjadi punca masyarakat Malaysia tidak membeli buku.

"Kini sudah ada kemudahan meminjam buku di perpustakaan yang menyediakan pelbagai genre bacaan kepada pembaca, ia bukan masalah,'' jelasnya.

Tambah beliau lagi, dengan membaca buku, seseorang akan mempunyai minda yang terbuka dan berupaya bercakap mengenai pelbagai perkara.

"Ia berbeza dengan mereka yang tidak membaca buku kerana tidak mengetahui banyak perkara," jelasnya.

Beliau turut mengesyorkan penulis tempatan supaya membanyakkan penghasilan buku dengan penulisan yang menarik dan sedikit kontroversi agar menarik minat pembaca.
Sumber: Utusan Malaysia (Dalam Negeri)
Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Friday, April 23, 2010

Perpustakaan Sepi?


Perpustakaan semakin sepi, pelajar lebih suka guna WiFi .

PERKEMBANGAN pesat teknologi maklumat menyebabkan perpustakaan yang selama ini menjadi tumpuan pelajar kini semakin sepi, sebaliknya premis termasuk restoran yang menyediakan perkhidmatan internet tanpa wayar secara percuma, Wi-Fi, menjadi tumpuan mereka untuk mentelaah pelajaran. Hampir setiap malam terutama hujung minggu, pelajar menjadikan restoran makanan segera atau gerai mamak berhampiran kampus yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi sebagai tempat mengulangkaji sambil makan dan bersosial. Perpustakaan pula hanya sibuk ketika pelajar membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan pada akhir semester.

Selain Wi-Fi, suasana selesa dan santai serta waktu operasi 24 jam dikatakan antara tarikan bagi pelajar IPT menjadikannya ‘port’ bagi melayari internet dan melakukan perbincangan tugasan selain melepaskan tekanan.

Fenomena itu menyebabkan ramai ahli akademik melihatnya sebagai ‘ancaman’ kepada budaya kesarjanaan kerana dikhuatiri pelajar tidak lagi menjadikan perpustakaan sebagai pusat menelaah atau mengunjunginya bagi mendapatkan bahan rujukan kerana bergantung penuh kepada enjin carian di internet.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Raja Abdullah Yaacob, berkata kesarjanaan tidak boleh dipisahkan dengan persekitaran perpustakaan yang kondusif dalam melahirkan generasi berbudaya ilmu dan berkemahiran dalam pencarian dan penggunaan maklumat untuk tujuan pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan.
Malah, katanya, semakin berkembang ICT, semakin relevan perkhidmatan perpustakaan kepada pelajar bagi memastikan mereka menggunakan kemahiran dan kaedah betul mencari maklumat dan sumber rujukan dalam era ledakan maklumat ketika ini.

“Dulu perpustakaan sajalah tempat pelajar berkumpul untuk berbincang atau menelaah, namun sekarang banyak pilihan terutama restoran yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi.

“Dikhuatiri apabila selesa dan kerap mengunjungi restoran seumpama itu akan membuatkan pelajar berfikir perpustakaan tidak lagi relevan dalam pengajian mereka.

“Antara kesan negatif mungkin berlaku akibat fenomena baru ini adalah berleluasa amalan plagiarism apabila enjin carian dijadikan kaedah utama mendapatkan maklumat selain mungkin hanya 10 peratus saja masa ditumpukan sepenuhnya kepada ulang kaji kerana banyak gangguan seperti bersembang dan makan,” katanya.

Raja Abdullah berkata antara punca pelajar mudah tertarik dengan ‘gangguan’ luar seperti restoran Wi-Fi adalah kurang kemahiran literasi maklumat yang mengakibatkan mereka tidak memanfaatkan kemudahan perpustakaan sepenuhnya.

Kebanyakan pelajar, katanya, hanya menggunakan perkhidmatan meminjam buku sedangkan mereka antara lain boleh mendapatkan bantuan pustakawan bagi mencari bahan atau rujukan berkaitan bidang pengkhususan menerusi bahan bercetak dan dalam talian.

“Pelaburan berjuta ringgit dilaburkan universiti bagi menaik taraf kemudahan perpustakaan dan melatih pustakawan seiring perkembangan ICT termasuk melanggan pangkalan data dan jurnal pelbagai bidang pengkhususan akan sia-sia jika pelajar tidak memanfaatkannya.

“Dalam hal ini, pengurusan perpustakaan boleh memainkan peranan dengan menggalakkan pustakawan supaya lebih proaktif dengan menawarkan perkhidmatan bimbingan literasi maklumat serta mengatur waktu operasi yang lebih bersesuaian dengan keperluan pelajar termasuk membuka satu bahagian perpustakaan yang boleh diakses 24 jam,” katanya.

Sementara itu, pelajar Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Mohamad Asri Ab Jani, 22, berkata tidak timbul isu kesarjanaan pelajar terjejas berikutan kecenderungan pelajar mengulang kaji di restoran Wi-Fi selagi ia dijadikan pusat menelaah alternatif dan sumber rujukan masih diambil daripada perpustakaan.

Beliau memberi contoh beliau bersama rakan kuliah akan mengadakan perbincangan dan ulang kaji di restoran Wi-Fi hanya apabila bahan untuk dibincangkan sudah dikumpul dan difahami di perpustakaan.

“Apabila tugasan diberikan, kami akan mengumpul fakta kes tertentu dan melakukan pembacaan ringkas mengenainya di perpustakaan sebelum membuat salinan bahan atau memuat turunnya daripada pangkalan data dan seterusnya berkumpul di restoran KFC atau McDonald’s Jalan Universiti Petaling Jaya pada sebelah malam bagi membincangkannya.

“Namun tidak dinafikan, jika tiada disiplin melakukan ulang kaji di lokasi santai seperti restoran Wi-Fi, pasti pelajar akan mudah tunduk kepada gangguan seperti makan atau bersembang di laman sosial di Facebook,” katanya.

Perkhidmatan perpustakaan perlu seiring teknologi semasa

PERKHIDMATAN perpustakaan perlu berubah mengikut kehendak dan keperluan pelajar masa kini terutama berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memastikan ia kekal relevan sebagai pemangkin kesarjanaan dan kecemerlangan universiti.

Ketua Pustakawan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Haron Wee, berkata jika perkhidmatan tidak diperbaiki, pelajar dengan mudah ‘lari’ ke lokasi lain untuk mengulang kaji apabila maklumat diperlukan tidak dapat dipenuhi.

Beliau berkata antara kemudahan perlu dinaiktaraf sesuai kecenderungan pelajar terhadap ICT ketika ini adalah mewujudkan lebih banyak terminal komputer bagi memudahkan pelajar melayari internet, sambungan Wi-FI serta pangkalan data yang boleh diakses di mana saja bagi pelbagai pengkhususan pengajian.

Selain itu, katanya, persekitaran santai seperti mewujudkan lebih banyak ruang perbincangan atau kemudahan kafe berhampiran juga penting bagi menggalakkan pelajar berada lebih lama di perpustakaan.

“Perkhidmatan perpustakaan tidak boleh berada di takuk lama, ia perlu berubah mengikut kehendak pelajar supaya perbelanjaan besar universiti membangunkan kemudahan ini tidak sia-sia.

“Diharapkan perkhidmatan diberikan akan membuatkan pengguna perpustakaan bernafsu kepada ilmu dan apabila mereka ketagih kepada ilmu, barulah setiap hari pelajar mengunjungi dan memanfaatkan kemudahan di institusi ini,” katanya.

Beliau memberi contoh antara kemudahan dinaik taraf di perpustakaan UiTM adalah mewujudkan 100 terminal komputer, serta 54 pangkalan data pelbagai bidang pengajian menerusi kemudahan EasyProxy yang membolehkan pelajar mengaksesnya di mana saja termasuk di rumah.

Katanya, kemudahan bahan bercetak dan buku juga ditambah secara berterusan menerusi maklum balas daripada setiap fakulti yang disalurkan menerusi pegawai perhubungan perpustakaan.

Pada Mei ini, katanya, ruang bacaan aras empat PTAR1 akan diubahsuai menjadi Library Learning Common bagi mewujudkan lebih banyak ruang perbincangan , bilik tayangan dan menempatkan mesin menjual makanan.

“Kami juga menggalakkan pustakawan mendekati pelajar bagi membimbing mereka menggunakan segala kemudahan terutama pangkalan data yang menggunakan sistem tertentu untuk diakses.

“Antara hasilnya, Perpustakaan UiTM menerima Anugerah Emerald baru-baru ini kerana mencatat penggunaan tertinggi di dunia bagi pangkalan data dalam talian Emerald Management Xtra yang memuatkan jurnal berkaitan pengajian sains sosial dan pengurusan,” katanya.

Sumber:Berita Harian

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Thursday, July 23, 2009

Pinjaman Buku Menerusi Internet ? Dapatkah Ianya Direalisasikan ?

KUALA LUMPUR 20 Julai - Mulai tahun depan, orang ramai tidak lagi perlu ke perpustakaan untuk meminjam buku.

Ini berikutan pengenalan kemudahan perpustakaan digital oleh Perpustakaan Negara yang membolehkan orang ramai meminjam buku menerusi Internet.

Menerusi kemudahan itu semua urusan pinjaman buku bukan sahaja boleh dibuat menggunakan Internet malah buku-buku akan dihantar ke rumah peminjam.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie berkata, kemudahan itu disediakan dengan kerjasama 101 perpustakaan lain berikutan penubuhan Katalog Induk Kebangsaan (KIK).

"Sistem perpustakaan digital diterajui Perpustakaan Negara akan beroperasi mulai hari ini tetapi akan lengkap sepenuhnya dua tahun lagi.

"Buat masa sekarang orang ramai hanya mampu mencari buku yang dikehendaki secara online tetapi mulai tahun depan setiap buku yang ingin dipinjam akan dihantar terus ke rumah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perpustakaan Digital dan melancarkan KIK di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohamad Md. Daud, Ketua Pengarah PNM, Raslin Abu Bakar, Pengurus bahagian ICT, Persatuan Orang Buta Malaysia, Silatulrahim Dahman dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Raslin Abu Bakar.

Seai Kie berkata, KIK dibangunkan dengan kos RM15 juta dan mengandungi lebih tujuh juta rekod katalog koleksi perpustakaan.

Tambahnya, perkhidmatan itu akan diperluas ke perpustakaan desa terutama di Sabah dan Sarawak selaras dengan usaha kerajaan menumpukan usaha meningkatkan liputan jalur lebar di sana.

"Usaha ini menuntut sokongan kementerian lain terutama Kementerian Pelajaran dalam menyediakan pendidikan digital kepada generasi muda dan pada masa yang sama menerapkan budaya suka membaca," jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai persidangan itu, Seai Kie berkata, ia agenda penting bagi mendidik masyarakat supaya mencintai perpustakaan yang merupakan warisan intelektual.

Sumber : Arkib Utusan Malaysia (Dalam Negeri) 21.07.2009

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy)

Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Friday, April 3, 2009

Fenomena Baru ! Perpustakaan Maya Teknologi Digital

FENOMENA baru! Barangkali itu kata-kata paling tepat apabila revolusi teknologi elektronik melanda dunia yang mana, peralatan dan sistem menjadi semakin canggih.
Tidak terkecuali dunia perbukuan dan perpustakaan menerima impak apabila helai demi helai kertas yang anda pegang kini berubah wajah ke format digital.


Teknologi elektronik menjadikan dunia semakin kecil, semakin moden dan segalanya bergerak pantas yang mendorong kepada penciptaan inovasi baru untuk menyokong kemajuan itu.
Bahan bacaan bertukar kepada format digital termasuk dokumen, buku, majalah dan apa juga lembaran kertas yang dahulunya anda pegang kini berubah kepada format yang lebih mudah.

Pembaca elektronik untuk e-buku diperkenalkan oleh Sony (Kindle) dan Amazon (PRS-500).
Medium pembacaan bertukar daripada bentuk buku atau majalah bercetak kepada peranti elektronik mudah alih tetapi lebih jauh daripada itu, anda akan dapat membayangkan satu gedung buku tidak lagi kelihatan di depan mata.

Pengguna buku atau apa juga dokumen, kertas kerja dan laporan malah manuskrip bersejarah boleh dibaca dengan hanya menekan ‘klik’ pada tetikus, kerana semua boleh diubah wajah kepada bahan bacaan elektronik atau dicapai dalam talian.
Konsep tersebut boleh disebut dengan apa juga terminologi, perpustakaan maya, perpustakaan elektronik atau perpustakaan digital tetapi kefahaman mendalam mengenai ledakan teknologi elektronik dan pendigitalan akan dapat memberi gambaran senario sebenar yang berlaku.
Konsep perpustakaan tersebut dikatakan diperkenalkan pada 1994 dan banyak perpustakaan tersohor telah mengaplikasikannya.

Tidak semua buku perlu digitalkan kerana masih ada ruang untuk medium pembacaan itu dinikmati secara konvensional.

‘‘Saya tidak fikir buku akan lupus meskipun dalam tempoh 100 tahun lagi kerana ia mudah dan fleksibel, mudah dibawa,” kata Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Amir Hussain Md. Ishak.

Bagaimanapun, PSAS antara universiti yang tidak mahu ketinggalan memanfaatkan teknologi tersebut dengan mengaplikasi konsep perpustakaan maya atau digital untuk kemudahan pelajar.
Bukan semua bahan bercetak dalam perpustakaan boleh didigitalkan ke format buku elektronik, kerana setiap buku mempunyai hak cipta tersendiri yang perlu diawasi, mengikut piawaian dunia, hak cipta mana-mana buku tamat selepas 50 tahun ia diterbitkan.

Selain melanggan bahan penerbitan bercetak, pangkalan data e-jurnal dan e-buku juga dilanggan oleh PSAS bagi membolehkan pihaknya memperoleh bahan bacaan digital untuk kegunaan pelanggan perpustakaan tersebut,.
Bahan-bahan tersebut boleh diakses 24 jam sehari, katanya, dilanggan daripada pemiliknya di Amerika Syarikat dan Eropah. Ia diakses daripada pelayan (server) yang berada di sana, melalui pelayan proksi PSAS yang mengawal, memantau dan memberi akses hanya kepada pelajar dan staf UPM sahaja.

“Melalui pelayan proksi pengguna dapat akses pangkalan data yang dilanggan, walaupun mereka berada di luar kampus ataupun luar negara’' katanya.

Antara dari 59 pangkalan data e-jurnal yang dilanggan oleh PSAS adalah Science Direct, EBSCOhost, Blackwell Synergy dan Springer Link
Dengan kemudahan seumpama itu, pihaknya telah membantu pelajar dan pensyarah mengakses lebih daripada 58,000 jurnal bagi menjalankan tugasan dan penyelidikan mereka dengan lebih mudah.
Bahan bacaan yang diperoleh dalam format digital adalah sama kandungannya dengan medium buku atau jurnal bercetak.

'‘Zaman kita belajar dulu, kena pergi ke rak untuk mencari jurnal atau buku berkaitan bidang yang kita kehendaki tetapi kini semua tersedia dalam talian,” ujarnya.

UPM kata beliau, pada masa sama, sedang dalam proses mendigitalkan tesis dan hasil penulisan penyelidik untuk disimpan dalam bentuk elektronik.
Apa yang dilakukan ialah tesis dan kertas penulisan penyelidik yang diserahkan akan diimbas dan disimpan dalam server serta diberi indeks sebagai rekod pengenalan.
Satu lagi pendekatan ialah pelajar menyerahkan tesis mereka dalam fail soft copy dan fail ini ditukarkan ke format PDF untuk dimuat turun ke pelayan.

Menyimpan dan mendigitalkan tesis iaitu dalam elektronik adalah bagi merealisasikan perpustakaan maya yang membolehkan mana-mana penyelidik mengaksesnya untuk membuat rujukan dan perbandingan melalui Internet.
Kaedah tersebut juga dapat mempromosikan nama UPM ke seluruh dunia jika mereka mengakses penulisan pegawai atau tesis tersebut secara online.
Ketika ini, tesis-tesis tersebut belum boleh diakses secara online kerana ada berapa isu yang perlu diatasi dahulu antaranya isu hak cipta dan harta intelek.

“Setengah pensyarah mungkin enggan membenarkan tesis diakses secara teks penuh melalui Internet atas faktor ia satu penemuan terbaru dan belum dipatenkan. Bagi tesis-tesis yang dikenal pasti mempunyai potensi untuk dikomersialkan perpustakaan akan menyekat tesis tersebut daripada diakses” katanya.

Index Tesis-Tesis IPTA

Bagi memudahkan pencarian maklumat mengenai tesis-tesis sarjana dan doktor falsafah yang disimpan di perpustakaan IPTA, satu pangkalan data tesis telah dihasilkan dengan kerjasama antara 20 perpustakaan IPTA dan empat perpustakaan IPT GLC Sehingga kini lebih dari 25,000 tesis yang dihasilkan oleh universiti telah berjaya di indeks. Pangkalan data Malaysian Thesis Online ini boleh di akses melalui portal PERPUN http://portal.perpun.net.my.

Indeks akan dapat membantu para pelajar yang akan menulis tesis, untuk menyemak sama ada bidang penyelidikan yang dibuat sudah ada orang lain yang terdahulu telah membuat penyelidikan yang sama melalui pencarian di satu portal web sahaja.
Malah beliau yang juga Pengerusi Persidangan Perpustaakan Universiti dan Perpustakaan Negara (Perpun), yang menghasilkan portal web tersebut, mengimpikan supaya, teks penuh tesis dapat di up load untuk bacaan satu hari nanti. Ini kerana setakat ini hanya indeks atau abstrak tesis tersebut sahaja yang diletakkan.

‘‘Usaha tersebut kata beliau, untuk menjadi kenyataan, memerlukan isu hak cipta tesis kepunyaan setiap IPTA terlibat perlu diperhalusi serta mendapat kelulusan pihak pengurusan universiti terdahulu,” kata beliau.

Jika impian tersebut tercapai, maka mana-mana pelajar yang ingin merujuk pada tesis-tesis IPTA tidak lagi perlu mengunjungi perpustakaan-perpustakaan universiti secara fizikal, sebaliknya mereka hanya melayari portal tersebut bagi mendapatkan sumber rujukan.

Sumber : Utusan Malaysia Online - Sains & Teknologi - Arkib : 26/03/2009

Royifazulmaldy Zakaria (Roy)
Unit Perkhidmatan Akses (UPA)

Thursday, November 13, 2008

Peluang Penyelidik UniMAP Terbitkan Artikel Penyelidikan Secara Percuma

Hindawi Publishing Corporation merupakan penerbit komersial yang menerbitkan bahan-bahan ilmiah dalam bidang Sains, Teknologi dan Perubatan (STM) . Hindawi merupakan satu-satunya penerbit yang membangunkan koleksi jurnal secara Open Source. Bagi memastikan setiap jurnal yang diterbitkan mencapai tahap kualiti yang terbaik kebanyakkan jurnalnya diterbitkan dengan kerjasama badan profesional dan akademik yang diiktiraf seperti Connective Tissue Oncology Society, European Association for Signal Processing, European Musculo-Skeletal Oncology Society dan banyak lagi.

Sehingga kini Hindawi telah menerbitkan lebih 125 judul jurnal dan kebanyakannya telah diindeks dalam pangkalan data indeks dan abstrak seperti Scopus, Journal Citation Report, INSPEC, dan lain-lain.

Pada November 2008, UniMAP telah menjadi ahli institusi kepada Hindawi Publishing Corporation. Ini membolehkan artikel akademik warga UniMAP diterbitkan tanpa sebarang caj pemprosesan (article processing fee).

Panduan dan syarat-syarat untuk menerbitkan artikel didalam Hindawi disediakan di laman webnya.

Laman Hindawi boleh diakses melalui laman web perpustakaan di http://mylib.unimap.edu.my/

Pihak kami amat mengalu-alukan sebarang pandangan dari anda berkaitan hal ini.

Md Nizam Azid
Unit Runding Maklumat, Perpustakaan UniMAP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...