Thursday, November 7, 2013

Naib Canselor UniMAP Dipilih Tokoh Maal Hijrah 1435 H Peringkat Negeri Perlis








Kangar, 4 November – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jen Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, 58, dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2013 peringkat negeri di sini.

Dr. Kamarudin, anak kelahiran Kuala Lumpur, menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, plak dan hadiah iringan.

Selain Dr. Kamarudin, bekas hakim mahkamah rayuan negeri, Datuk Ahmad Jusoh, 71 turut diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2013. Beliau turut membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, plak dan hadiah iringan.

Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan hadir menyampaikan anugerah kepada kedua-dua tokoh tersebut dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid As-Syarroni, Kampung Behor Lateh di sini.

Terdahulu, baginda berdua turut berkenan menyempurnakan perasmian masjid tersebut. Berangkat hadir bersama, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dr. Kamarudin ketika ditemui menzahirkan rasa bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan itu meskipun bukan merupakan anak kelahiran negeri Perlis.

Beliau bagaimanapun percaya, pemilihan tersebut dinilai berdasarkan “dakwah” yang dilaksanakan dalam memartabatkan UniMAP di persada pengajian tinggi negara.

“Sesungguhnya saya berterima kasih kepada panel pemilihan yang telah memilih saya sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah tahun ini, atas sumbangan saya dalam memajukan sektor pengajian tinggi di negeri ini. Insya Allah, saya akan terus berusaha memajukan dan memakmurkan negeri ini dengan kepakaran pendidikan yang saya miliki,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut untuk kali keduanya tahun ini selepas menerimanya 10 tahun lalu, sewaktu masih berkhidmat sebagai hakim mahkamah rayuan.

“Apapun, saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini dan sedikit sebanyak ia memberi semangat kepada saya untuk terus berdakwah kepada masyarakat,” ujarnya yang kini aktif menghasilkan penulisan dan buku.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...