Tuesday, April 16, 2013

Tahniah! UniMAP Dinobatkan Sebagai Syarikat Terbaik Pada Summit Of Leaders 2013



UniMAP Dinobatkan Sebagai Syarikat Terbaik Pada Summit Of Leaders 2013

11 APRIL 2013, LONDON: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP dinobatkan sebagai “Syarikat Terbaik” manakala Naib Canselornya, Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin dinobatkan sebagai “Pengurus Terbaik” oleh European Business Assembly (EBA) baru-baru ini.

Pengiktirafan tersebut menjadikan UniMAP sebagai institusi akademik pertama dan Dato’ Kamarudin sebagai Naib Canselor pertama universiti Malaysia yang menerima anugerah itu dari EBA. Majlis Penyampaian anugerah itu diadakan di ibu pejabat British Institute of Directors (BIOD), bersempena Summit of Leaders 2013, di sini.

Dato’ Kamarudin berkata, kejayaan tersebut membuktikan komitmen dan kesungguhan yang diusahakan kerajaan Malaysia dalam memartabatkan bidang pengajian tinggi negara dan ia membuka mata masyarakat antarabangsa. 

“Saya berasa bersyukur kerana hasil penat lelah kita selama ini diiktiraf bukan sahaja di Asia malahan di juga di eropah dan kita akan berusaha lebih keras bagi mencapai cita-cita dalam menjadikan UniMAP antara 500 universiti terbaik dunia menjelang 2020,”katanya ketika dihubungi, semalam.

Summit of Leaders 2013 dihadiri oleh tokoh-tokoh antarabangsa yang terdiri daripada ahli perniagaan dan ketua-ketua institusi dari 32 buah negara dan majlis ucaptamanya disampaikan oleh tokoh politik dan perniagaan yang terkenal di United Kingdom, Sir Richard Needham.

Pemilihan bagi penerima anugerah tersebut dilakukan secara analisis dari sumber terbuka dan pencalonan daripada ahli jawatankuasa yang dibentuk dari institusi pendidikan, industri dan pusat penyelidikan dari beberapa negara seperti Austria, Belgium, Jerman, Republic Czech, Switzerland dan banyak lagi

Bagi kategori Pengurus Terbaik, kriteria yang dilihat adalah berdasarkan pencapaian Dato’ Kamarudin yang menjadi model positif kepada masyarakat dan sumbangan di dalam inovasi, sains dan keusahawanan. 

Manakala bagi kategori Syarikat Terbaik, kriteria yang ia diambil kira pembangunan university dari segi professional dan juga aspek pengkomersialan.

Untuk rekod, antara penerima anugerah EBA terdahulu dari Malaysia adalah Datuk Dr Abd Latif Mohmod (Ketua Pengarah FRIM) tahun 2011, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Tan Sri Hamad Kama Piah (PNB) tahun 2012.

Royifazulmaldy Bin Zakaria (Roy) Jawatankuasa Promosi, Sumber Dan Perkhidmatan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...